Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah, semasa saya sedang solat, terlintas di fikiran saya perkara maksiat. Tapi saya tidak merasakan apa-apa yang keluar dari kemaluan, cuma saya terdetik dalam hati, "nanti lepas solat aku check seluar ada yang basah atau tak" dan saya masih meneruskan solat. Apakah solat saya masih sah kerana terdetik perkara sedemikian meskipun saya masih meneruskan solat? Kerana saya ada baca kalau kita macam ragu-ragu atau niat batal solat, maka solat kita batal serta-merta
Jawapan
Merujuk persoalan yang diajukan, seseorang yang memikirkan sesuatu di dalam solatnya, sama ada perkara tersebut banyak atau sedikit, harus atau haram, tidaklah membatalkan solatnya selagimana tidak meninggalkan rukun-rukun solat. Namun, perbuatan tersebut hukumnya adalah makruh. Begitu juga, solatnya tetap sah sekiranya tiada apa-apa perbuatan yang membatalkannya seperti keluar sesuatu daripada kemaluannya (air mazi dan seumpamanya) kerana fikiran atau khayalannya itu. Berkenaan dengan perkara ini, Imam al-Nawawi ada menjelaskan bahawa :
Maksudnya : Disunatkan khusyuk dan merendah diri dalam solat serta mentadabbur bacaan al-Quran, zikir-zikir dan apa yang berkaitan dengannya. Juga hendaklah berpaling daripada memikirkan mengenai apa-apa perkara yang tiada kaitan dengannya. Sekiranya seseorang memikirkan mengenai perkara yang lain (yang tidak berkaitan dengannya) dan banyak memikirkannya, solatnya tidak batal tetapi hukumnya adalah makruh sama ada perkara yang difikirkannya itu adalah sesuatu yang diharuskan atau diharamkan seperti meminum arak. ( al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Cet. al-Maktabah al-Taufiqiyyah, 4/32)
Hal ini juga adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW :
Maksudnya : Sesungguhnya Allah SWT akan memaafkan ummatku apa yang terlintas dalam dirinya selagi mana dia tidak melakukannya atau bercakap mengenainya. ( Riwayat al-Bukhari (5269))
Oleh yang demikian, sekalipun solatnya sah dan tidak batal, namun perbuatan berfikir atau berkhayal dalam tempoh yang lama atau banyak bukanlah suatu perkara yang digalakkan. Apatah lagi berfikir dan berkhayal mengenai perkara yang haram. Oleh itu, perbuatan tersebut hendaklah dihindari semampu mungkin. Kita dituntut bahkan disunatkan untuk menghadirkan sepenuh hati dan khusyuk ketika menunaikan solat serta menghayati segala bacaan di dalamnya.
Sekian, terima kasih.