Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya nak tanya soalan berkaitan dengan nafkah dan perpisahan. Sy dan suami dah berkahwin hampir 3 tahun dan mempunyai seorang anak lelaki. Sy dan suami dua2 bekerja. Gaji sy lebih besar berbanding suami. Setiap bulan suami hanya memberi nafkah sebanyak 500 untuk perbelanjaan sy dan anak di kampung. Kami pjj. Sy yang banyak tanggung keperluan anak dan diri. Sebab nafkah yang diberi tidak mencukupi. Awalnya saya tidak bermasalah. Tetapi ada satu tahap dimana, suami sanggup berhabis duit membeli telefon untuk bermain game, dan menyebabkan nafkah diberi semakin berkurang. Dia perlukan duit untuk membyar bulanan telefon berkenaan. Sy dah cuba menegur. Tapi suami memarahi sy menyatakan sy ni besar kepala sbb gaji saya besar. Sedangkan selama ni gaji sy la yang banyak menampung keluarga kecil kami. Kalau keluar berbelanja barang dapur pun pakai duit sy. Transport dia balik kg pon sy yg tanggung. Jarang sekali je pakai duit dia. Belanja mak ayah dia pon sy yg bagi. Bila sy gaduh ngan dia, akn adela sesi berdebat yg panjang, dan sy dikata isteri derhaka. Dia akan buat seolah saya yang salah. Sy yang patut dipersalahkan. Adakah salah kalau sy menggunakan alasan ini untuk berpisah? Sy dah xtahan dah, kena torture mcm ni. Bila sy ajak pergi kaunseling agama, dia akn ckp sy jhat sikit2 nk berpisah. Berdosakah saya ustaz?
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan:
Dalam Islam, nafkah isteri dan anak merupakan kewajipan suami, walaupun isteri bekerja dan mempunyai pendapatan yang lebih tinggi daripada suami. Suami hendaklah memastikan keperluan asas seperti makan minum, tempat tinggal, pakaian dan keperluan harian isteri serta anak-anak dipenuhi dengan sebaiknya, mengikut kemampuan suami, serta dalam keadaan yang sesuai dan selesa.
Adapun gaji atau pendapatan isteri tidak wajib digunakan untuk menanggung keluarga. Sekiranya isteri turut menyumbang, maka ia adalah suatu bentuk ihsan dan kerelaan daripada pihak isteri, bukan suatu tanggungjawab yang diwajibkan ke atasnya.
Berkenaan persoalan sama ada puan bersalah atau berdosa jika menjadikan hal ini sebagai alasan untuk berpisah, jawapannya adalah tidak berdosa sekiranya terdapat sebab-sebab yang diiktiraf oleh syarak. Antara sebab-sebab itu termasuklah suami gagal memberikan nafkah yang mencukupi, cuai dalam menunaikan tanggungjawab nafkah, berlaku kezaliman atau tekanan emosi, serta tiada usaha untuk memperbaiki keadaan.
Dalam keadaan sedemikian, isteri boleh memohon fasakh atau menuntut pembubaran perkahwinan melalui saluran yang dibenarkan oleh hukum syarak.
Walau bagaimanapun, Islam sangat menekankan usaha islah yakni perdamaian dan penambahbaikan dalam rumahtangga. Justeru, pasangan suami isteri digalakkan untuk berbincang dengan baik dan berhikmah. Sekiranya tidak mencapai penyelesaian, boleh melibatkan orang tengah daripada kalangan ahli keluarga yang dipercayai atau individu yang dihormati serta bersikap adil. Selain itu, mendapatkan khidmat nasihat daripada Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran juga amat digalakkan.
Sekiranya semua usaha tersebut tidak berhasil, maka perpisahan menjadi jalan terakhir yang diharuskan oleh syarak.
Sekian terima kasih