BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

salam ustaz,

saya tanya bagi pihak kawan saya. Kawan saya ada 10 adik beradik dan dia anak yang ke 7. ayah dia meninggal ketika dia berumur 9 tahun dan abang sulong ketika itu berumur 20 tahun dan sudah bekerja. abang yang sulong sudah bekerja dengan menggunakan sebahagian tanah untuk dijadikan bengkel (bekerja sendiri). ketika itu ibunya masih hidup. namun sehingga hari ni, abang bengkel yang digunakan sebagai bengkel masih ada lagi dan tiada pembahagian harta dilakukan kepada adik beradik yang lain. 

saya nk tanya, adakah abang sulong dikira memakan harta anak2 yatim? dan apakah hukum jika tiada pembahagian harta dilakukan setelah kedua2 orang tua sudah meninggal. apa yang terjadi pada orng yang sudah meninggal dan hidup.

terima kasih ustaz


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Apabila seorang ayah meninggal, semua harta milik ayah yang ditinggalkan menjadi harta pusaka. Harta itu bukan milik mana-mana anak secara automatik, termasuk anak sulung. Hukum faraid adalah peraturan dalam hukum syarak yang mengaturkan pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang. Hukum faraid adalah satu aspek penting dalam hukum keluarga Islam dan ia merupakan syariat dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’.

Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 7:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ  نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

Harta tersebut perlu melalui proses iaitu selesaikan hutang si mati, tunaikan wasiat (jika ada dan sah) dan bahagikan kepada waris mengikut faraid.

Tentang abang sulung menggunakan tanah untuk bengkel Jika tanah itu adalah tanah pusaka ayah, maka secara asasnya abang sulung tidak boleh mengambil atau menggunakan tanah itu sebagai milik sendiri tanpa persetujuan semua waris. Jika dia menggunakannya tanpa pembahagian atau tanpa izin waris, dari sudut hukum ia boleh menjadi memakan harta orang lain secara tidak sah. Lebih berat lagi jika ketika itu adik-adiknya masih kecil (anak yatim). Dalam Islam, memakan harta anak yatim adalah dosa besar.

Allah SWT berfirman dalam  Surah An-Nisa ayat 10:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَٰلَ ٱلْيَتَـٰمَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِى بُطُونِهِمْ نَارًۭا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًۭا

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka menelan api ke dalam perut mereka.

Namun ada pengecualian sekiranya abang sulung menjaga keluarga dengan menggunakan tanah dan bengkel itu untuk menyara ibu dan adik-adik dan yang terbaik adalah atau semua waris redha / mengizinkan.

Kesimpulannya, cubalah berunding dengan sebaiknya dengan si abang untuk mendapatkan semula hak faraidh para waris, sekiranya sudah ada tuntutan maka si abang wajib menyerahkannya dengan kiraan faraidh yang tepat berlandaskan syariat Islam. Diingatkan tidak terjadi putus hubungan kekeluargaan disebabkan harta yang tidak diuruskan dengan baik.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 45

message user image