Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum sebagai pemandu e-hailing di mana wang deposit di e-wallet akan di ambil oleh syarikat e-hailing sebanyak 20 peratus ketika berjumpa dengan penumpang akan tetapi pekerjaan menghantarnya belum selesai ? Terdapat gharar di dalam akad tersebut di mana penumpang mungkin membatalkan perjalanan atau pemandu mempunyai masalah untuk menghabiskan perjalanan tersebut dan tidak menerima langsung apa-apa jumlah bayaran untuk perkerjaan tersebut walaupun e-wallet pemandu telah di potong dan di ambil bayaran sebagai komisyen sebanyak 20 peratus. Adakah gharar ini di maafkan oleh syarak ?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, 20% daripada e-wallet yang dipotong oleh syarikat pengendali e-hailing adalah merupakan caj atas penggunaan aplikasi yang disediakan oleh syarikat tersebut. Jika pemotongan adalah atas dasar sebab di atas, maka pemotongan tersebut adalah diharuskan. Sama seperti bayaran komisen yang dibayar oleh mana-mana individu atau syarikat yang berjaya membawa pelanggan baru untuk ke kedai mereka. Sekalipun pembelian belum dibuat, tetapi bayaran komisen adalah atas dasar berjaya membawa pelanggan baru ke kedai tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.