BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt

Boleh sy tahu status puasa pada 4 situasi berikut?

Situasi 1: Disebabkan mengalami gusi berdarah, semasa tidur, sy akan berusaha utk tidak menelan air liur. Apabila sy sedar dari tidur, disebabkan silap cara bangun, kumpulan air liur yang bercampur darah itu mengalir dengan sendirinya ke kerongkong. Sy hanya mampu membuang sebahagian sahaja, bakinya telah sampai ke had batin.

Situasi 2: Selepas membuang air liur berdarah, selalunya masih ada rasa darah yang berbaki, sy telan juga air liur seperti biasa kerana menganggap itu sekadar atsar, dan bukan ain darah.

Situasi 3: Sy dapat merasakan ada ubat gigi di anak tekak, lalu sy berkumur sambil mendongak untuk membersihkan kawasan tersebut, namun secara tak sengaja, sy tertelan kumuran itu.

Situasi 4: Sy yakin ada rasa yang asing di mulut, namun tidak sempat membuangnya kerana tertelan disebabkan reaksi spontan.

5. Setiap kali merasakan ada darah di mulut, sy akan melihat cermin atau pergi ke sinki untuk memastikan tiada pendarahan, baru lah sy yakin untuk menelan air liur seperti biasa (setiap hari akan berlaku perkara yang sama). Adakah benar tindakan sy ini? atau sebenarnya sy tidak dituntut untuk berbuat sehingga tahap demikian.

6. Jika puasa sy terbatal disebabkan kesilapan di atas, adakah sy masih berpeluang mendapat pahala melakukan amalan lain di siang hari? Sy sering menyangkakan yang puasa sy selalu terbatal. menyebabkan hilang motivasi untuk melakukan ibadat sunat lain kerana mungkin tidak mendapat pahala kerana teringat akan hadis nabi berkenaan ramai yang berpuasa, tapi cuma mendapat lapar dan dahaga.

7. Jika sy solat, dan berlakunya pendarahan gusi, selepas sy lap menggunakan kain, adakah sy perlu melepaskan kain tersebut supaya tidak dikira menanggung najis? atau sy dibenarkan untuk memegangnya atau masukkan ke dalam poket? sy ada terbaca pendapat yang mengatakan boleh menyimpan kain tersebut di poket kerana darah itu dianggap najis yang dimaafkan. Dan utk solat yang seterusnya, adakah dia masih boleh memegang kain tersebut untuk digunakan?

8. Adakah belahan yang terbuka pada kemaluan hadapan lelaki termasuk dalam had zahir istinjak? Jika dia sekadar melalukan air pada bahagian luar hasyafah zakar, tapi tidak pada bahagian yang terbuka kerana bimbang akan dimasuki air dan membatalkan puasa, adakah sah istinjaknya?

Terima kasih, wa barakallahu fiikum


message user image

Jawapan  

  وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Keadaan seseorang yang sedang tidur dan mengalami gusi berdarah merupakan keadaan yang tidak berada dalam kawalannya. Air liur yang mengalir sendiri ke kerongkong juga berlaku di luar kawalan. Dalam keadaan ini, puasa tidak batal kerana ia tidak disengajakan untuk ditelan.

2. Ya, rasa yang tuan alami itu merupakan kesan air liur yang masih berbaki dan ia dimaafkan namun begitu ia perlu dibilas dengan kumuran untuk menghilangkan najis darah. Hal ini kerana tuan telah yakin serta mampu membezakan antara darah dengan air liur.

3. Rasa ubat gigi yang berada di anak tekak hanyalah dianggap sebagai kesan ubat gigi dan bukan pula 'ainnya (fizikal ubat gigi). Oleh itu, sekiranya tuan tertelan kesan ubat gigi tersebut tidak akan menyebabkan puasa tuan terbatal. Adapun perbuatan berkumur-kumur hanya cukup pada batasan had zahir mulut iaitu pada makhraj (tempat keluar) huruf خ "kho" dan tidak perlu sampai mendongakkan kepala untuk mengelakkannya.

4. Perbuatan yang berlaku tanpa sengaja adalah dimaafkan dan puasa tidak batal. 

5. Ya, tuan tidak dituntut untuk bertindak sehingga ke tahap sedemikian. Keadaan ini menunjukkan tuan sedang mengalami waswas, sedangkan dalam kebanyakan keadaan perkara tersebut tidak perlu dihiraukan kerana ia berlaku tanpa sengaja dan tuan mampu membezakan antara darah dengan air liur.

6. Sangkaan yang timbul itu telah menyusahkan tuan kerana tuan sebenarnya tidak perlu bertindak sehingga ke tahap tersebut. Tuan disarankan untuk terus meningkatkan kefahaman ilmu agar dapat membezakan antara perkara yang dituntut oleh syarak dengan yang tidak dituntut. Dalam hal ini, hendaklah berpegang kepada kaedah fiqh: 

 اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan itu tidak dapat dihapuskan dengan perasaan syak (tidak pasti)

7. Jika darah gusi keluar dan tuan mengelapnya dengan kain, hukumnya bergantung kepada jumlah darah dan sama ada ia dianggap najis yang dimaafkan atau tidak.

  • Darah yang sedikit: Jika darah yang keluar sedikit dan tidak mengalir banyak, ia termasuk dalam kategori najis yang dimaafkan (ma'fu 'anhu). Dalam keadaan ini, menyimpan kain yang terkena darah sedikit di dalam poket atau memegangnya tidak membatalkan solat tuan, kerana ia tidak dianggap membawa najis yang banyak.
  • Darah yang banyak: Jika darah yang keluar banyak sehingga mengalir dan mengotori kain secara ketara, maka ia tidak lagi dimaafkan. Dalam kes ini, tuan perlu melepaskan kain tersebut atau membersihkannya jika mampu tanpa mengganggu solat. Jika tidak, solat tuan mungkin terjejas kerana membawa najis yang banyak.

Untuk solat yang seterusnya pula, jika kain tersebut masih mengandungi darah gusi yang banyak dan tidak dimaafkan, maka tuan tidak boleh menggunakannya atau menyimpannya di poket semasa solat. Tuan perlu membersihkan kain tersebut atau menggunakan kain yang bersih. Ini kerana syarat sah solat adalah suci daripada najis pada badan, pakaian, dan tempat solat.

8. Belahan yang terbuka pada kemaluan hadapan lelaki termasuk dalam bahagian batin zakar. Oleh itu, perbuatan sekadar mengalirkan air pada bahagian zahir hasyafah (kepala zakar) tidak membatalkan puasa dan istinjak tersebut adalah sah. Seseorang hanya dituntut membersihkan bahagian zahir zakar, bukan bahagian batinnya.

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 255

message user image