Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT.
Saya ingin bertanya soalan yang sering kali bermain di fikiran apabila saya dalam keadaan kemurungan dan kebuntuan.
Manusia diciptakan oleh Allah SWT sebagai sebaik-baik makhluk di dunia. Dari segi fitrah manusia, emosi dan perasaan tidak dapat disisihkan apabila kita bercerita tentang kejadian manusia. Selain sakit fizikal, manusia juga boleh mempunyai sakit dari segi mental dan emosi yang selalunya tidak kelihatan pada luaran diri seseorang.
Soalan saya, bolehkah kita sebagai seorang Muslim berasa marah yang teramat sangat kepada Allah SWT? Jika tidak, bagaimanakah caranya saya boleh hilangkan perasaan amarah ini setiap kali saya dirudum kesedihan dan musibah yang tak mampu saya suarakan kepada sesiapa pun?
Jawapan
Perasaan atau emosi marah merupakan fitrah manusia. Walaupun begitu, marah kepada Allah SWT adalah dilarang dan boleh menggugatkan iman individu. Segala kesedihan dan musibah yang menimpa bukanlah bermakna Allah SWT benci atau atau marah kepada individu yang ditimpa musibah. Bahkan musibah itu merupakan satu ujian kepada hamba-hambanya yang terpilih untuk dinilai adakah hambanya termasuk dalam golongan yang bersabar dan bersangka baik kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah
Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Bukan itu sahaja, ujian dan musibah yang menimpa tersebut hakikatnya menunjukkan betapa dekatnya Allah SWT dengan individu tersebut. Hal ini kerana, setiap kali ditimpa sesuatu musibah, seseorang itu pasti akan terus ingat kepada Allah SWT. Oleh itu, bersangka baiklah kepada Allah SWT. Segala ujian dan musibah yang ditimpa adalah satu bentuk kasih Allah SWT kepada hamba-hambanya yang terpilih. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW dalam hadis qudis, Firman Allah SWT:
Maksudnya: Aku menurut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam suatu majlis, Aku mengingatinya dalam majlis yang lebih baik daripada mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan jika dia datang kepada-Ku berjalan, Aku datang kepadanya berlari. (Riwayat al-Bukhari)
Begitu juga firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 216:
وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Jika tiada sesiapa yang sudi untuk dengar luahan kita, maka meluahlah kepada Allah SWT. Merintih dan berbicara lah kepada Allah SWT dengan cara solat dan doa. Semoga kita semua beroleh keampunan dan keredaan Allah SWT.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.