Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya mahu bertanya, saya tahu jika keluar air mazi dan terkena pakaian maka wuduk saya adalah tidak sah, persoalan saya bagaimana jika air mazi terkena pada badan saya kemudian saya tidur setelah bangun saya menukar pakaian tetapi tidak membasuh bahagian badan yang terkena air mazi dan terus solat. Adakah solat saya itu sah?
Jawapan
Air mazi adalah najis dan keluarnya membatalkan wuduk. Oleh itu, jika air mazi terkena pada badan, bahagian yang terkena najis tersebut perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum menunaikan solat.
Air mazi dianggap najis oleh majoriti fuqaha (ahli fiqh). Ini berdasarkan hadis daripada Ali bin Abi Talib RA yang menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang banyak keluar mazi dan malu untuk bertanya kepada Nabi SAW. Beliau kemudian meminta Miqdad bin al-Aswad untuk bertanya, lalu Nabi SAW bersabda: "Dia hendaklah membasuh kemaluannya dan berwuduk.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, majoriti ulama berpendapat bahawa membersihkan najis daripada badan, pakaian, dan tempat solat adalah syarat sah solat. Jika seseorang mendirikan solat dengan najis pada badannya, solatnya tidak sah. Justeru, solat tuan tidak sah jika tuan tidak membasuh bahagian badan yang terkena air mazi sebelum solat, kerana air mazi adalah najis dan membersihkan najis dari badan adalah syarat sah solat. Tuan wajib membersihkan najis tersebut dan qada solat.
Sekian, terima kasih.