Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. mohon pandangan berkenaan wakaf. Syarikat A mencetak kitab. Syarikat A mengajak orang berwakaf dengan membayar harga kitab tersebut. Bolehkah syarikat A mengambil keuntungan daripada kitab yang diwakafkan . Banyak syarikat mengajak orang ramai berwakaf dengan produk keluaran mereka dan dalam masa yang sama mereka mengaut keuntungan kerana ada pelanggan beli produk mereka. Maksudnya menjual produk dengan menggunakan medium wakaf . Apakah hukumnya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, dalam konteks pengurusan wakaf di Selangor, wakaf adalah penyerahan hak milik yang dibuat oleh pewakaf untuk kepentingan Islam melalui pemegang amanah (syarikat atau Majlis Agama Islam) tanpa sebarang ganti (harga) dan bertujuan semata-mata mengharapkan ganjaran disisi Allah SWT. Berdasarkan kepada persoalan yang dikemukakan, harus hukumnya bagi mana-mana syarikat untuk menjual produk dengan menggunakan medium wakaf, dengan syarat tidak meletakkan harga dan kos pengurusan yang terlalu tinggi dan tidak munasabah. Disamping itu juga, pihak syarikat wajib mengurus perlaksanaan urusan wakaf tersebut supaya sampai kepada penerima manfaat wakaf. Diantara sifat orang yang beriman yang perlu dipupuk di dalam diri atau organisasi pemegang amanah adalah menunaikan amanah yang diberikan dengan baik, seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam ayat Al Quran ; وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَٰنَٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ Maksudnya ; “Dan mereka yang menjaga (menunaikan ) amanah dan janjinya” (al-Mukminun : 8) Sikap amanah perlu sebati di dalam jiwa pemegang amanah yang menguruskan wakaf supaya matlamat asal pewakaf tercapai dan sampai kepada penerima manfaat wakaf, kerana pihak pengurusan syarikat merupakan pemudah cara kepada pewakaf untuk menyempurnakan urusan wakaf tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.