Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam.
Saya ingin bertanya berkenaan nazar. Ada kah sah nazar saya jika saya bernazar untuk tidak melakukan onani, tetapi saya melanggarnya berkali- kali. Sekiranya sah, apakah saya perlu membayar kafarah mengikut bilangan perlanggaran sekiranya saya tidak mampu menunaikan nazar tersebut. Terima kasih
Jawapan
Antara rukun nazar yang perlu ada ketika seseorang bernazar ialah lafaz nazar dan perbuatan yang dinazarkan. Perbuatan yang dinazarkan mestilah bukan sesuatu yang wajib atau sesuatu yang haram seperti bernazar untuk menunaikan solat fardu lima waktu, berpuasa Ramadhan, meninggalkan zina, meninggalkan onani dan sebagainya. Ini kerana nazar hanya berlaku pada perkara yang harus dan sunat kerana tiada faedah untuk mewajibkan diri melakukan sesuatu yang wajib atau meninggalkan sesuatu yang haram.
Disebutkan dalam Rawdat al-Talibin (3/300):
Maksudnya: Adapun ketaatan itu mempunyai beberapa jenis: Salah satunya ialah perkara-perkara wajib. Maka tidak sah bernazar padanya, kerana ia memang telah wajib dengan ketetapan syarak. Oleh itu, tidak ada makna untuk seseorang “mengikat diri” dengan sesuatu yang memang sudah diwajibkan. Contohnya: bernazar untuk menunaikan solat lima waktu, bernazar untuk berpuasa Ramadhan. Begitu juga jika seseorang bernazar untuk tidak minum arak atau tidak berzina.
Justeru, nazar yang dilakukan adalah tidak sah dan tiada sebarang kaffarah yang dikenakan. Namun bergitu, perbuatan beronani perlu ditinggalkan. Jangan berputus asa memohon rahmat dan kekuatan daripada Allah SWT agar sentiasa dijauhkan daripada perbuatan tersebut atau seumpamanya di samping sentiasa berusaha meninggalkannya.
Sekian, terima kasih.