Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan, saya ingin bertanya beberapa soalan berkaitan ibadah:
1. saya sering berasa waswas dalam bilangan sujud/rakaat ketika solat, saya telah cuba menggunakan indicator seperti jari agar saya dapat tahu bahawa saya telah melakukan sujud/rakaat tersebut, tetapi saya masih waswas. Di samping itu, saya juga waswas sama ada telah membaca alfatihah atau belum, selalunya selepas saya membacanya datang keraguan selepasnya menjadi lebih kuat keraguannya. Adakah boleh untuk saya abaikan waswas ini dan teruskan sahaja solat tanpa mengulang/menambah rakaat/rukun? Sebab sebelum ini saya selalu menambah rakaat/rukun menjadikan saya makin waswas sehingga saya sujud tiga kali dalam satu rakaat. Bolehkah saya mengikut pandangan dari video ini
"syak dan waswas dalam bacaan alfatihah" https://share.google/S29Qrl6T7Xv0DXr7g
Di mana jika berlaku pada setiap hari boleh diabaikan sahaja waswas tersebut?
2. Selepas sahur saya selalu menggosok gigi, tetapi selepas itu saya selalu berasa seperti ada benda di tekak(tidak pasti sama ada sisa makanan atau hanya waswas) (selalunya berlaku ketika solat), oleh itu, ketika solat saya tidak boleh berdehem atau membuat bunyi (untuk mengeluarkan benda tersebut) kerana akan membatalkan solat, jika saya menahannya di tekak, nanti akan berkumpul air liur yang banyak menyebabkan saya tidak dapat membaca rukun qauli dengan betul.
(1)adakah boleh jika saya hanya menelan bendasing tersebut?
(2)Jika saya hanya berniat ingin telan air liur yang terkumpul tersebut tetapi tertelan sekali bendasing tersebut, adakah batal puasa dan solat saya?
3. (1)Adakah batal puasa jika setelah membuang kahak yang berada di tekak, selepas itu terdapat sedikit kahak yang susah untuk dikeluarkan seterusnya menelannya?
(2) Adakah batal puasa jika saya menelan kahak kerana tidak pasti bahagian zahir mulut atau batin mulut?
(3) Adakah batal puasa jika saya menahan kahak pada zahir mulut, selepas itu, kahak tersebut hilang?
4. Saya selalu membasuh kemaluan secara mencangkung di atas lantai selepas membasuh kemaluan secara duduk (tandas saya cuma tandas duduk) untuk memastikan tiada lagi air kencing yang keluar dari kemaluan. Dengan itu, air yang digunakan untuk membasuh kemaluan pada ketika itu terpercik dan terkena pada kaki, adakah kaki dan juga tempat saya pijak perlu dibasuh dengan air mutlak, atau air tersebut dikira sebagai air musta'mal sahaja?
5. Jika sebelum saya solat saya telah membersihkan kemaluan dan seluar dalam dari kencing/air mazi, selepas itu saya solat.
(1) Selepas saya solat, adakah perlu saya check sama ada saya telah keluar air mazi atau tidak kerana saya tidak merasakan apa-apa sensasi. Adapun merasakan sesuatu, adakah perlu saya check seluar dalam? Sebab saya ada melihat video ceramah mengatakan jika tidak yakin bahawa air mazi keluar ketika solat, maka air mazi tersebut dikira keluar selepas solat...
(2) Jika saya ingin melakukan solat pada waktu lain, adakah perlu juga saya check seluar dalam saya sebelum solat?
(3) Seterusnya, jika tidak dapat dipastikan sama ada kesan yang berada pada seluar dalam adalah air mazi atau hanya kesan dari basuhan menggunakan sabun, adakah perlu saya membasuhnya dengan air mutlak? Kerana saya selepas ini ingin sambung belajar di jepun yang tandasnya agak kurang senang untuk digunakan seperti di malaysia...
Mohon pencerahan (jikalau boleh secepat mungkin)... Terima kasih dan Assalamualaikum
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
Abaikan sahaja waswas tersebut walaupun ia datang setiap hari. Dalam keadaan ragu, peganglah kepada bilangan yang paling yakin, kemudian teruskan solat tanpa menambah atau mengulang rukun. Jika benar-benar yakin ada kekurangan, barulah ditambah. Jika tidak, teruskan sahaja.
Hukum ditentukan berdasarkan perkara yang yakin bukan waswas. Perasaan seperti ada sesuatu di tekak itu tidak semestinya benar. Maka, tidak perlu dilayan. Menelan air liur ketika solat adalah dibenarkan dan tidak perlu ditahan. Namun, jika benar terdapat bendasing dalam mulut, tidak boleh ditelan dengan sengaja kerana boleh membatalkan puasa dan solat walaupun sedikit. Jika tertelan secara tidak sengaja ketika menelan air liur, maka ia dimaafkan dan tidak membatalkan. Oleh itu, teruskan sahaja solat tanpa melayan waswas dan perlu bezakan antara air liur dengan bendasing sekadar yang mampu.
Puasa tidak batal dengan membuang kahak. Jika kahak masih berada di dalam tekak (belum sampai ke rongga mulut), maka menelannya tidak membatalkan puasa. Namun, jika kahak telah sampai ke kawasan mulut, wajib diluahkan. Jika ditelan dengan sengaja, maka batal puasa. Dalam keadaan ragu sama ada ia di mulut atau masih di tekak, kembali kepada yang yakin dan abaikan waswas. Jika kahak yang ditahan di mulut kemudian hilang tanpa sengaja, puasa tidak batal.
Air percikan daripada basuhan kemaluan adalah suci melainkan jika diyakini terdapat ain najis.Oleh itu, kaki dan tempat yang dipijak tidak perlu dibasuh. Air tersebut hanya dikira sebagai air musta‘mal.
Berdasarkan situasi yang dinyatakan: a) Jika yakin tiada rasa air mazi keluar semasa solat, maka tidak dituntut untuk memeriksanya selepas solat. b) Jika yakin tiada rasa air mazi keluar semasa solat, namun tuan memeriksanya selepas solat dan didapati ada, maka dikira ia keluar selepas solat dan solat tersebut tetap sah. c) Jika yakin ada rasa air mazi keluar semasa solat, maka dituntut untuk memeriksanya selepas solat. Jika ada air mazi tersebut, maka solat perlu diulang. Jika tiada, maka solat tidak perlu diulang. Jika tuan seseorang yang kerap keluar air mazi, maka wajib memeriksa setiap kali sebelum solat dan membersihkannya. Jika tidak kerap, penyelesaiannya berbalik kepada keyakinan sama ada yakin rasa ia keluar atau tidak semasa sebelum solat. Jika yakin rasa ia keluar, maka wajib memeriksa dan membersihkannya. Jika yakin tiada rasa ia keluar, maka tidak perlu memeriksanya. Bagi situasi ketidakpastian sama ada kesan pada seluar dalam itu merupakan air mazi atau sekadar kesan daripada basuhan sabun, kedua-dua keadaan tersebut sebenarnya boleh dibezakan. Air mazi yang tidak dibersihkan dengan segera kebiasaannya akan mengeras dan sukar ditanggalkan sepenuhnya jika dibasuh terus menggunakan mesin basuh. Oleh itu, disarankan agar kesan air mazi dibersihkan terlebih dahulu pada bahagian yang terkena sebelum dicampurkan bersama pakaian kotor lain untuk dibasuh. Selain itu, adalah digalakkan untuk membawa pakaian dalam tambahan untuk ditukar atau menyediakan pakaian khas bagi menunaikan solat seperti kain pelekat atau pakaian lain yang menutup aurat.
Sekian, terima kasih.