BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamu alaikum wbt

Saya telah membayar zakat fitrah melalui amil yang di lantik oleh pihak Lembaga Zakat Selangor di Masjid Al Mujahideen, Damansara Utama.

Kaedah pembayaran yang saya pilih ialah melalui scan kod QR yang telah disediakan dan saya telah dibawa terus ke pautan https://zpay.zakatselangor.com.my/bayar/amil/RWR04O84

Setelah membuat pembayaran saya dapati saya mendapat resit yang dikeluarkan oleh GKash iaitu satu platform pembayaran dalam talian yang dimiliki oleh ATX Distirbution Sdn. Bhd. yang beroperasi di Damansara Utama.

Setelah membuat beberapa semakan saya telah dapati syarikat ini dimiliki oleh En Danny Chong.

Soalan saya:

 

1. Adakah GKash ini 'shariah compliance'?

2. Sekiranya ya, adakah wang zakat kita boleh disalurkan sebahagiannya ke syarikat yang bukan Islam? (saya yakin setiap transaksi ada kos yang akan di caj oleh pihak GKash)

3. Mengapa pihak LSZ tidak menggunakan servis payment gateway yang dimiliki oleh orang Islam sendiri? Saya lampirkan resit pembayaran zakat fitrah saya untuk rujukan pihak tuan.

Saya berharap kekeliruan saya mendapat jawapannya.

Terima kasih saya dahulukan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah membuat maklum balas mengenai pembayaran zakat melalui platform digital ZPay yang mempunyai kaitannya dengan GKash. ZPay merupakan aplikasi rasmi milik Zakat Selangor yang dibangunkan sebagai platform saluran pembayaran zakat tanpa tunai bagi memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab dengan lebih pantas, selamat dan teratur. Kemudahan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Zakat Selangor memperkukuh sistem kutipan yang lebih cekap, telus dan mesra pembayar.

Bagi membangunkan dan mengendalikan kemudahan digital ini, Zakat Selangor melantik penyedia teknologi berdasarkan kepakaran teknikal serta keperluan keselamatan sistem. ATX Distribution Sdn Bhd berperanan sebagai syarikat yang dilantik bagi membangunkan sistem serta menyelenggara aplikasi ZPay. Pihak GKash pula merupakan gerbang pembayaran (payment gateway) yang diintegrasikan oleh pihak ATX bagi tujuan pemprosesan transaksi digital secara masa-nyata (real-time authorization). GKash berfungsi sebagai infrastruktur teknikal yang menghubungkan institusi perbankan pembayar dengan sistem ZPay dan ia tidak mempunyai sebarang hubungan kontrak lantikan sebagai ejen kutipan dengan Zakat Selangor.  

Tanggungjawab kutipan dan agihan zakat dilaksanakan sepenuhnya oleh Zakat Selangor bersama Penolong Amil individu yang ditauliahkan secara rasmi oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Bagi memastikan transaksi berjalan lancar dan teratur, bayaran zakat diurus melalui akaun khusus patuh syariah yang dikawal selia mengikut perjanjian serta prosedur kewangan Zakat Selangor. Kaedah ini memastikan pemprosesan transaksi yang cekap serta pengasingan agihan upah Penolong Amil dibuat secara segera tanpa menjejaskan integriti dana zakat.

Sebarang caj pemprosesan transaksi serta bayaran kepada penyedia saluran pembayaran adalah berdasarkan kos perkhidmatan sistem yang diperuntukkan di bawah pengurusan amil. Jumlah zakat yang dibayar oleh pembayar kekal sepenuhnya sebagai dana zakat dan tidak melibatkan sebarang potongan komisen.

Dari sudut hukum syarak, penggunaan kemudahan transaksi kewangan yang disediakan oleh penyedia saluran pembayaran, termasuk syarikat bukan Islam, adalah diharuskan selaras dengan prinsip fiqh muamalat di bawah konsep Ijarah (sewaan perkhidmatan). Kaedah ini tidak menjejaskan niat pembayar, tidak menggugat kesempurnaan akad zakat serta tidak menjejaskan kesahan ibadah zakat yang ditunaikan. Pendirian ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-5/2019 bertarikh 30 Oktober 2019 yang memutuskan bahawa pembayaran zakat melalui saluran pembayaran digital seperti e-dompet dan kod QR adalah harus menurut hukum syarak.

Untuk maklumat lanjut tuan boleh merujuk terus kepada pihak LZS atau bacaan lanjut di berita terkini LZS pada pautan berikut: 

https://www.zakatselangor.com.my/maklum-balas-zakat-selangor-pembayaran-zakat-dalam-platform-zpay/ 

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 13

message user image