BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Apakah batas ilmu fardhu ain?contohnya,setakat apakah yang perlu diketahui dalam berwudhuk,apakah mengetahui semua yang membatalkan wudhuk itu termasuk fardhu ain seperti jenis baring yang membatalkan wudhuk atau hanya perlu tahu yang lazimnya


message user image

Jawapan  

.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

.الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

 Merujuk persoalan yang diajukan, batas ilmu fardhu ain merujuk kepada kadar ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap Muslim sehingga membolehkannya melaksanakan ibadah dengan sah serta mengelakkan perkara yang boleh membatalkannya.

Dalam bab wuduk, pengetahuan yang paling utama ialah rukun-rukun wuduk seperti niat, membasuh muka, membasuh kedua tangan hingga siku, menyapu sebahagian kepala, membasuh kedua kaki hingga buku lali, serta tertib.  Kegagalan memahami dan melaksanakan rukun ini akan menyebabkan wuduk tidak sah.

Di samping itu, seseorang juga wajib mengetahui perkara asas yang membatalkan wuduk seperti keluar sesuatu dari qubul atau dubur, tidur, hilang akal, serta sentuhan antara lelaki dan perempuan ajnabi (mengikut mazhab Syafi’i), kerana perkara-perkara ini berkait secara langsung dengan kesahan ibadah.

Namun begitu, perincian yang lebih mendalam, seperti perbahasan tentang jenis-jenis tidur atau posisi baring yang membatalkan wuduk, tidak termasuk dalam kewajipan fardhu ain bagi setiap individu; sebaliknya, memadai baginya mengetahui secara umum bahawa tidur yang tidak tetap papan punggung boleh membatalkan wuduk. Perincian tersebut menjadi penting untuk dipelajari apabila ia berkait rapat dengan situasi yang sering dialami, sehingga memerlukan kefahaman yang lebih tepat dalam melakukan ibadah.

 

.والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 55

message user image