Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada kemusykilan,jika saya keluar rumah pada 10:30 a.m. untuk pergi a suatu tempat yang sudah melebihi Kedar minimum untuk dikira sebagai bermusafir,kemudian setelah sampai,saya menetap di tempat itu sehingga 4:30 dan tempat tersebut adalah tempat pelancongan dan tiada surau atau masjid serta majoriti orang disana adalah bukan islam dan saya takutkan jika solat disitu boleh mengganggu mereka,bolehkah saya jamak solat saya dan apakah selama saya berada disitu dikira sebagai bermusafir atau tidak
Jawapan
Secara asasnya, seseorang yang bermusafir diharuskan untuk solat secara jamak dan qasar di sepanjang permusafiran sehingga sampai ke tempat yang dituju. Sekiranya dia berniat untuk tinggal di tempat yang dituju itu tidak melebihi 3 hari, tidak termasuk hari tiba dan hari keluar dari tempat itu, maka dia diharuskan untuk solat secara jamak dan qasar sepanjang berada di tempat itu. Namun sekiranya dia berniat untuk tinggal di situ melebihi 3 hari, tidak termasuk hari tiba dan hari keluar, maka dia tidak diharuskan untuk solat secara jamak dan qasar setibanya di tempat itu, kerana telah dianggap sebagai bermukim.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, saudara dianggap masih bermusafir dan diharuskan untuk solat secara jamak dan qasar sepanjang berada di tempat itu, jika berniat untuk tinggal di situ tidak melebihi 3 hari, tidak termasuk hari tiba dan hari keluar dari tempat itu.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.