Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Baru2 ini saya beraya ke kampung dan bermalam. Apabila bangun tidur, saya tiba2 rasa sangat nak ke tandas lalu terus ke sana. Apabila duduk, saya rasa ada percikkan air ke kaki yg mungkin air paip di atas tempat duduk namun saya waswas jika air kencing. Oleh itu, saya terus waswas jika air kencing terkena kerusi jamban dan lantai kerana warna jamban gelap dan saya tak dapat pastikan. Saya juga pakai pad jadi tak nampak jika sye benar2 terkencing.
Saya terus mengalirkan air membersihkan tempat yg takut terkena najis namun tiada lubang di lantai untuk alirkannya masuk drain lalu saya berusaha menghalakan air ke lubang pada dinding yang membawaknya ke bilik mandi sebelah. Saya takut air yg bertakung itu membawa najis dan menajiskan tempat tersebut dan menyebabkan wuduk tak sah.
Adakah hal ini dimaafkan? Saya telah berusaha sedaya upaya untuk alirkan najis jika ada.
Sekian, assalamualaikum
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, prinsip asas dalam hukum bersuci ialah sesuatu itu dihukumkan berdasarkan keyakinan dan wujudnya ain najis bukan semata-mata sangkaan atau was was. Dalam situasi ini, puan tidak mempunyai kepastian bahawa percikan tersebut ialah air kencing sebaliknya hanya berdasarkan rasa dan kemungkinan.
Oleh itu, segala bentuk keraguan seperti ini tidak boleh dijadikan asas untuk menghukum sesuatu sebagai najis. Maka, hukum asal bagi percikan air tersebut serta kawasan yang disyaki adalah kekal suci.
Berhubung tindakan puan yang telah mengalirkan air untuk membersihkan kawasan tersebut, ia sudah memadai dan bahkan merupakan langkah yang baik untuk menghilangkan rasa was was. Dalam hal ini, syarak tidak menuntut seseorang untuk membersihkan sesuatu secara berlebihan atau berulang kali tanpa kepastian wujudnya ain najis.
Adapun kebimbangan bahawa air yang bertakung itu membawa najis, ia juga tidak perlu diambil kira selagi tidak ada bukti yang jelas bahawa air tersebut benar-benar telah bercampur dengan najis.
Justeru, wuduk puan adalah sah. Puan disarankan agar tidak melayan perasaan waswas tersebut kerana ia boleh membawa kepada kesukaran dalam beribadah sedangkan Islam itu sendiri bersifat memudahkan. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Hasan bin Ali RA cucu Rasulullah SAW, beliau berkata:
Maksudnya : Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Riwayat al-Tirmizi)
Sekian, terima kasih.