BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,

Sya nak tanya berkaitan Lafaz Kinayah (Bersyarat).

Suami bgtau Sya sekiranya Sya tak balik beraya dgn suami thn ni, dia terpaksa ceraikan Sya talak 3. Dan 3 hari sebelum Raya suami hantr voice note WhatsApp mengatakan dia tarik semula lafaz tersebut. Dan pada pagi hari raya Sya tidak balik beraya dgn suami..

Soalannya, Adakah bila suami tarik semula lafaz Kinayah tu menyebabkan lafaz tersebut terbatal sdangkan sya tidak balik beraya dgn nya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, ucapan sebenar yang dilafazkan oleh suami dalam menentukan suatu lafaz talak atau taklik talak itu sah atau tidak adalah amat penting.

Berdasarkan kepada kenyataan yang diberikan bahawa ucapan suami: “Sekiranya kamu tidak balik beraya dengan saya tahun ini, saya terpaksa ceraikan kamu talak 3,” merupakan suatu ancaman atau perkhabaran bahawa sekiranya isteri tidak balik beraya bersama suami pada tahun itu, maka suami akan menceraikan isterinya. Jika pada tahun itu isteri tidak balik beraya bersama suami dan suami ingin meneruskan ancaman yang dibuat iaitu menceraikan isterinya dengan talak tiga, maka suami perlu melafazkan cerai talak tiga kepada isterinya. 

Ucapan tersebut tidak membawa kepada berlakunya taklik talak atau talak bersyarat. Taklik talak berlaku jika lafaz itu berbentuk insya'i iaitu kenyataan yang mengatakan talak jatuh serta merta jika berlaku sesuatu yang ditetapkan atau disyaratkan seperti ucapan suami: "Jika kamu tidak balik beraya bersama saya, jatuh talak 1". 

Oleh itu tidak timbul penarikan semula taklik talak oleh suami kerana ia tidak berlaku. Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut, boleh berhubung dengan Bahagian Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 30

message user image