Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam tuan/puan,
saya ingin bertanya, mengikut pemahaman saya dan apa yang saya baca, simpanan di dalam kwsp akan ditangguhkan pembayaran zakat sehingga sampai masa apabila kita keluarkan pendapatan itu dari kwsp iaitu umur 50-55 tahun. Saya ingin bertanya, jikalau pembayaran zakat untuk simpanan kwsp ditangguhkan, adakah patut saya menolak simpanan (11%) tersebut dari gaji bulanan saya terlebih dahulu sebelum saya mengira zakat saya?
terima kasih!
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, wang simpanan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan seumpamanya merupakan harta yang disimpan serta dilaburkan hasil daripada pendapatan seseorang. Walau bagaimanapun, harta tersebut hanya boleh dikeluarkan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan. Justeru, pemiliknya tidak mempunyai kuasa penuh untuk membelanjakan harta tersebut sebelum dibenarkan membuat pengeluaran. Keadaan ini menunjukkan bahawa harta berkenaan tidak memenuhi salah satu syarat wajib zakat, iaitu milik sempurna (al-milk al-tām).
Namun begitu, berdasarkan fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 30 Ogos 2001 berkaitan Kaedah Pembayaran Zakat KWSP, telah ditetapkan bahawa zakat ke atas wang KWSP hendaklah dilaksanakan mengikut salah satu daripada kaedah berikut:
Pertama, apabila seseorang menerima wang KWSP tersebut, maka hendaklah ia menunggu selama setahun (cukup haul) sebelum mengeluarkan zakat sebanyak 2.5%.
Kedua, seseorang juga dibenarkan untuk terus mengeluarkan zakat sebanyak 2.5% sebaik sahaja menerima wang KWSP tanpa menunggu tempoh haul. Hal ini bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya penyusutan harta sehingga tidak lagi mencapai kadar nisab yang mewajibkan zakat.
Sekian, terima kasih.