BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Tuan/Puan yang dihormati,

Saya ingin mendapatkan pandangan syariah berkenaan penggunaan Generative AI untuk menjana imej atau video manusia yang realistik (menyerupai manusia sebenar).

Sebagai contoh:

i. Generative AI menjana wajah manusia baru yang tidak wujud berdasarkan arahan, menyerupai manusia sebenar.

ii. Generative AI menjana imej atau video individu yang wujud, termasuk yang masih hidup atau telah meninggal dunia.

Soalan saya:

1. Adakah perbuatan ini haram, makruh, atau dibenarkan, mengikut syariah?

2. Adakah terdapat batasan syariah (contoh: janaan imej kartun/ilustrasi berbanding manusia realistik, tujuan janaan sama ada pendidikan, perubatan, dakwah, atau hiburan semata-mata) yang perlu dipatuhi?

3. Bagaimana pandangan syariah terhadap risiko fitnah, pemalsuan, penipuan visual, persepsi meniru ciptaan Allah berkaitan janaan AI manusia realistik, serta ketaksuban dan mengidolakan manusia janaan AI dengan membina hubungan emosi dan berbual mesra seolah-olah ia makhluk hidup?

Pandangan pihak tuan amat dihargai dan akan dijadikan rujukan untuk perkongsian ilmu kepada masyarakat.

Sekian, terima kasih.

Netizen Yang Prihatin


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, hukum menggunakan teknologi AI mahupun penjana imej AI untuk menyunting gambar adalah harus. Hal ini bertepatan dengan kaedah berikut:

الأصل في الأشياء ‌الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: Asal kepada sesuatu perkara adalah harus sehinggalah dibuktikan dengan dalil yang menunjukkan ia haram

menggunakan penjana imej AI bagi menyunting gambar boleh dijadikan wasilah atau sebab untuk memperoleh pahala dengan menggunakannya pada jalan kebaikan dan dakwah. Apabila seseorang menjadikan teknologi AI sebagai alat bantuan dakwah untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka seseorang itu akan memperoleh ganjaran pahala bukan sahaja atas kebaikan yang dilakukannya, tetapi juga atas kebaikan yang dilakukan orang lain hasil daripada dakwah tersebut. Hadis yang diriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah RA, sabda Rasulullah SAW:

‌مَنْ ‌سَنَّ ‌فِي ‌الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: Sesiapa yang memulakan dalam Islam satu amalan yang baik lalu diamalkan oleh orang lain selepasnya, maka akan ditulis baginya pahala seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan sedikit pun daripada pahala mereka.(Riwayat Muslim)

Walaupun pada asasnya hukum menggunakan teknologi AI bagi menyunting gambar adalah harus, tetapi ia boleh menjadi haram sekiranya disalahgunakan. Haram bagi seseorang menyunting gambar yang bertentangan dengan syarak. 

Sesiapa yang menyunting gambar untuk menipu atau memperdaya orang lain maka haram baginya melakukan sedemikian. Contohnya seperti menjadikan wajah kelihatan lebih muda dan cantik atau menjual sesuatu produk dengan meletakkan wajah mahupun video tokoh tertentu. Begitu juga seperti menambah gambar wanita ajnabi pada seseorang lelaki. Hal ini kerana perbuatan sebegini boleh membawa kepada fitnah. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud RA, sabda Nabi SAW:

وَإِنَّ ‌الْكَذِبَ ‌يَهْدِي ‌إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya berdusta membawa kepada kejahatan. Dan sesungguhnya kejahatan itu membawa kepada neraka. (Riwayat al-Bukhari)

Perbuatan menyunting gambar yang boleh mengaibkan individu tertentu juga dilarang walaupun bertujuan gurau senda.  Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA, sabda Nabi SAW:

لَا تُمَارِ أَخَاكَ، ‌وَلَا ‌تُمَازِحْهُ

Maksudnya: Janganlah kamu bertengkar dan janganlah bersenda gurau. (Riwayat al-Tirmizi)

Kesimpulan, Islam tidak menolak manfaat teknologi khususnya dalam perkembangan dakwah dan syiar Islam. Namun Islam juga sangat menolak dan mengharamkan sebarang kemudharatan teknologi yang menjejaskan syariat Islam seperti penyelewangan Ai, gambar, ketaksuban dan sebagainya.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 66

message user image