Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada persoalan. Sekirannya kita sudah lama tidak mengganti puasa atas sebab uzur kemudian membayar fidyah yang juga telah dikalikan dengan bilangan hari yang kita telah tinggalkan.
Persoalannya, adakah qada' puasa kita juga berganda atas sebab Ramadan bertembung? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, bilangan puasa yang wajib diqada’ adalah tidak berganda dalam apa jua keadaan walaupun seseorang itu telah melalui beberapa kali Ramadhan tanpa menggantikan puasa yang ditinggalkan. Kewajipan qada’ kekal berdasarkan jumlah hari asal yang ditinggalkan sahaja.
Adapun fidyah, terdapat pandangan yang menyatakan ia boleh berganda mengikut bilangan tahun (Ramadhan) yang dilalui tanpa qada’ sebagai bentuk tanggungan tambahan. Namun, penggandaan fidyah ini adalah pilihan mengikut kemampuan individu serta bukanlah suatu kewajipan yang mutlak dalam semua keadaan.
Walau bagaimanapun, perkara ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan qada’ puasa. Setiap Muslim dituntut untuk segera menunaikan tanggungjawab menggantikan puasa yang ditinggalkan sebaik sahaja berkemampuan.
Sekian, terima kasih.