Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah, saya pernah mendengar bahawa jika seseorang meninggalkan solat dalam keadaan dia masih meyakini kewajiban solat, dia tidak dihukumkan sebagai kafir. Dalam situasi saya, saya keliru sama ada perlu mandi wajib atau tidak kerana tak pasti jika telah keluar air mani selepas bangun tidur. Sehinggalah sampai masuk waktu subuh ketika puasa, saya meninggalkan solat kerana tidak mandi wajib, saya risau jika saya mandi wajib sedangkan sebenarnya waktu lepas tidur itu tiada air mani yang keluar, akan membatalkan puasa saya. Saya tau saya berdosa, apakah hukumnya bagi situasi saya ini, kerana saya tetapnmeyakini bahawa solat itu wajib untuk saya
Jawapan
Perbuatan meninggalkan solat dengan sengaja tanpa mengingkari kewajipannya termasuk dalam kategori dosa besar yang perlu dijauhi. Bagi situasi yang dinyatakan, tuan/puan tidak perlu mandi wajib kerana apabila datang sesuatu keraguan, maka seseorang perlu berpegang dengan sesuatu yang diyakini atau hampir kepada yakin. Dalam situasi ini tuan/puan dianggap tidak keluar air mani dan tidak perlu mandi wajib. Ini berdasarkan kaedah yang disebutkan para ulama, iaitu:
Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.
Perbuatan mandi wajib ketika selepas subuh, iaitu setelah bermulanya waktu berpuasa tidak membatalkan puasa. Adapun yang membatalkan puasa ialah bersetubuh atau mengeluarkan air mani dengan sengaja ketika berpuasa.
Justeru, tuan/puan perlu menggantikan solat yang ditinggalkan.
Sekian, terima kasih.