BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan saya berkenaan puasa Ramadhan, saya dah niat puasa sebulan untuk malam pertama, setiap malam juga saya berniat puasa setiap hari untuk esoknya, namun harini 12 Mac 2026, saya terlupa niat semalam pada malam hari dan juga, saya telah habis period pada 10hvb lepas, adakah masih valid niat puasa sebulan saya, asbab saya pernah mendengar dan mengambil tahu bahawasanya niat puasa sebulan saya terbatal asbab saya sudah datang bulan 5 hari sebelum ini. 

Cuba jelaskan kepada saya, Terima kasih atas perhatian. 


message user image

Jawapan  

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, terdapat dua perkara yang perlu diambil kira iaitu:

  1. Status niat puasa sebulan yang dibuat pada malam pertama Ramadhan

  2. Hukum puasa apabila terlupa berniat pada malam hari selepas suci daripada haid

Pertama, niat puasa sebulan yang dilakukan pada malam pertama Ramadhan adalah sah dan boleh dijadikan sandaran menurut pandangan mazhab Maliki. Dalam keadaan puan yang telah berniat puasa sebulan, niat tersebut tidak terbatal walaupun diselangi dengan haid. Ini kerana haid merupakan keuzuran syarak yang memang dijangka berlaku dan ia tidak menjejaskan niat keseluruhan yang telah dibuat.

Kedua, menurut mazhab Shafi‘i, berniat pada setiap malam merupakan syarat sah puasa Ramadhan. Namun begitu, jika seseorang terlupa berniat pada malam hari, sedangkan dia telah berniat puasa sebulan pada malam pertama Ramadhan, maka puasa pada hari tersebut tetap sah dan tidak wajib diqada’. Hal ini kerana, niat sebulan itu sebagai langkah ihtiyat (berjaga-jaga) bagi menampung kelupaan tersebut. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa seseorang tidak boleh dengan sengaja meninggalkan niat pada setiap malam kerana ia tetap merupakan tuntutan dalam mazhab Shafi‘i.

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 5

message user image