Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Adakah jatuh hukum berdosa dan membazir jika membiarkan baby makan makanan sendiri, dan makanannya jatuh bersepah- sepah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, perbuatan membiarkan bayi atau anak kecil makan sendiri sehingga makanannya bersepah tidak dihukum berdosa, bahkan dalam banyak keadaan ia merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran yang baik. Dalam Islam, sesuatu hanya dianggap sebagai pembaziran apabila berlaku secara sengaja tanpa manfaat. Sedangkan dalam situasi ini, makanan yang jatuh adalah berlaku kerana bayi sedang belajar makan sendiri, yang merupakan satu bentuk tarbiah awal untuk melatih kemahiran motor, koordinasi dan sifat berdikari.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat 27:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu pula adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.
Selain itu, terdapat hadis yang mengajar agar umat Islam menghargai makanan dan tidak mensia-siakannya. Daripada Anas bin Malik RA, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Apabila jatuh suapan daripada kamu, maka hendaklah dia mengambilnya, membuang kotoran padanya dan memakannya, dan janganlah dia membiarkannya untuk syaitan. (Riwayat Muslim)
Walau bagaimanapun, bayi belum lagi mukallaf dan belum mampu mengawal pergerakan dengan sempurna, maka apa yang berlaku daripada mereka tidak termasuk dalam kesalahan. Justeru, ibu bapa tidak berdosa dalam membenarkan proses ini, bahkan digalakkan untuk mengawalnya dengan hikmah seperti memberikan makanan dalam kuantiti kecil, menyediakan alas tempat makan, serta membimbing anak secara berperingkat agar mereka belajar menghargai nikmat makanan dengan lebih baik.