BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammu'alaikum Ustaz/Ustazah,

Apakah hukum tidak menyambut, atau secara spesifik, tidak membuka pintu untuk ahli keluarga yang sekiranya asal datang sahaja, akan melakukan kekacauan seperti menjatuh-jatuhkan maruah tuan rumah dengan cara mengutuk tuan rumah dengan suara yang kuat didepan tetamu lain kadang kala sehingga tahap memaki hamun dan menjerit-jerit pada tuan rumah sehingga kedengaran oleh jiran-jiran? Padahal kami tuan rumah tak salah apa-apa pun. 

Dan sekiranya tetamu sebegitu dah disambut masuk ke rumah dan diminta tidak meninggikan suara atau memaki hamun kami tuan rumah, bolehkah kami menyuruh mereka pulang kerana kami tidak boleh tahan lagi dengan perangai mereka yang kurang adab? Kerana dalam keluarga kami memang ada saudara-mara yang begini dan memang setiap kali bertandang memang mereka akan berkelakuan sedemikian, mungkin kerana selama ini kami berdiam diri sahaja supaya tidak bergaduh tapi kami dah serik. 
 

Mohon pencerahan. Terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Perbuatan yang dilakukan oleh keluarga tuan adalah sangat tidak beretika dan berdosa kerana menyakiti hati sesama keluarga, apatah lagi dilakukan di rumah tuan. Namun, sekiranya perbuatan tidak membuka pintu rumah boleh menyebabkan putusnya silaturrahim, maka tindakan tersebut adalah tidak diharuskan, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Jubair bin Muth^im r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ

Maksudnya: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim. (Riwayat Al-Bukhari)

Janganlah tuan yang menjadi asbab putusnya hubungan silaturrahim tersebut kerana ia dilarang dalam Islam. Ingatlah Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 1:

وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Maksudnya: Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.

Antara hadis yang menyebut berkenaan menyambung silaturrahim, sepertimana hadis daripada Anas bin Malik RA, sabda Rasulullah SAW:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim” (Riwayat Al-Bukhari)

Kesimpulannya menutup pintu untuk tidak menerima kehadiran tetamu yang tidak beretika adalah dibolehkan kerana mengelak mudharat, tetapi janganlah sampai memutuskan silaturrahim antara keluarga. Perkara ini perlu dinasihatkan dan jangan dipendam kerana ia akan lebih memberi kesan buruk kepada emosi dan keluarga.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 8

message user image