Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum,
Saya hendak bertanya berkaitan hukum membayar hutang. Ayah saya telah meninggal dunia pada bulan 6 tahun lepas. Ayah tidak meninggalkan harta kecuali beberapa baki gaji yang tertunggak dari orang yang menggunakan khidmat kerjanya. Namun begitu, arwah ayah meninggalkan terlalu banyak hutang. Semua duit yang diterima digunakan untuk bayar hutang persendirian arwah namun masih banyak lagi hutang dengan Ah Long dan dengan orang persendirian yang mana duit gaji tertunggak itu tidak dapat menampung pembayaran hutang-hutang ditinggalkan. Duit untuk bayar fidyah tinggal puasa dilunaskan dengan menggunakan duit ibu atau saya sendiri. Ibu terpaksa menjual tanahnya di kampung untuk membayar sebahagian hutang dan saya juga meneruskan bayaran bulanan untuk menyelesaikan hutang arwah ayah. Saya anak tunggal, jadi memang tiada waris lain kecuali adik beradik arwah ayah ( seorang adik lelaki, seorang kakak dan seorang adik perempuan). Saya sendiri menanggung keluarga kecil saya yang mana lebih 70% dari perbelanjaan keluarga kecil saya, saya tanggung dan selepas kematian arwah, saya menanggung perbelanjaan ibu saya juga (bil utiliti, sedikit belanja bulanan). Saya dan ibu memang tak mampu untuk membayar semua hutang ditinggalkan ayah. Jadi soalan saya, adakah tanggungan hutang memang taggungjawab saya dan ibu saya sahaja untuk lunaskan? Adakah berdosa sekiranya kami tak mampu nak bayar semuanya?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, seseorang yang mempunyai hutang kemudian meninggal dunia, hutangnya hendaklah dilangsaikan oleh waris-warisnya atau wasi atau pentadbir yang dilantik melalui harta pusakanya. Ia sebagaimana firman Allah SWT didalam surah An-Nisa' ayat 11 :
Yang bermaksud: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.”
Untuk itu, dalam Islam hutang si mati wajib dilunaskan daripada harta peninggalannya sebelum harta tersebut dibahagikan kepada waris. Jika si mati tidak meninggalkan harta yang mencukupi untuk melunaskan semua hutangnya, maka waris tidak wajib menanggung hutang tersebut dari harta mereka sendiri. Tanggungjawab waris adalah untuk berusaha mencari jalan melunaskan hutang tersebut jika ada harta peninggalan, atau memaklumkan kepada pemiutang tentang keadaan si mati. Pengarang kitab Mausu'ah Fiqhiyyah Kuwaitiyah Jilid 21 Halaman 103 menyatakan
فإن مات المدين وترك وفاءً لدينه، وجب على ورثته قضاء د ينه من تركته قبل قسمتها، فإن لم يترك وفاءً لدينه، فلا يلزم الورثة قضاء دينه من أموالهم، وإنما يستحب لهم ذلك، ويثابون عليه إن فعلوه.
Maksudnya: Jika si mati meninggalkan harta yang mencukupi untuk hutangnya, maka wajib ke atas warisnya untuk melunaskan hutangnya daripada harta peninggalannya sebelum dibahagikan. Jika dia tidak meninggalkan harta yang mencukupi untuk hutangnya, maka waris tidak wajib melunaskan hutangnya daripada harta mereka sendiri, tetapi disunatkan bagi mereka untuk berbuat demikian, dan mereka akan diberi pahala jika mereka melakukannya.
Jika harta peninggalan si mati tidak mencukupi untuk melunaskan semua hutang, dan waris juga tidak mampu atau tidak mahu melunaskan hutang tersebut dari harta mereka sendiri, maka hutang tersebut akan menjadi tanggungan si mati di akhirat. Namun, Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Jika si mati benar-benar berniat untuk membayar hutangnya tetapi tidak berkesempatan, dan waris telah berusaha sedaya upaya untuk melunaskan sebahagian daripadanya, Insyaallah si mati akan diampunkan.
Begitu juga dengan Fidyah puasa, ianya adalah tanggungan si mati yang perlu dilunaskan daripada harta peninggalannya. Jika tiada harta, maka waris boleh melunaskannya secara sukarela. Tindakan puan dan ibu melunaskan fidyah puasa arwah adalah perbuatan yang sangat baik dan akan diberi ganjaran pahala.
Sekian, terima kasih.