Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t,
Saya ingin bertanya berkenaan hutang belajar yang tertunggak dan hutang kenderaan yang tertunggak. Bolehkah individu tertentu melangsaikan hutang tersebut sebagai zakat.
Pemiutang tidak mempunyai pendapatan yang tetap selama beberapa tahun (anggaran pendapatan 1000 hingga 1800 sebulan) dan menanggung isteri dan tiga orang anak yang bersekolah serta tinggal di rumah sewa. Terima kasih....
Jawapan
Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisaa’ ayat 59:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
Sebagaimana fatwa yang telah diwartakan pada 7 Jun 2007 yang bertajuk Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian Dan Qada Zakat, menyebut:
“Walaupun dari segi syara’ mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib”.
Kesimpulannya, dibenarkan untuk membayar zakat terus kepada asnaf, namun tetap berdosa melanggar arahan dari pemerintah iaitu membayar zakat terus kepada Lembaga Zakat Selangor. Ini bagi memastikan penerima sumbangan adalah selayaknya sebagai asnaf dan tiada unsur penipuan. Sekiranya penerima bukan asnaf, pembayaran hutang dianggap sedekah dan kewajipan zakat masih belum tertunai. Ada baiknya tuan merujuk kepada Lembaga Zakat Selangor dan memeriksa status penerima zakat tersebut.
Sekian, terima kasih