BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Di rumah saya ada besen air yang ditadah air untuk kegunaan mandi, basuh kencing dan sebagainya.
Kerap kali cicak akan gunakan besen ini sebagai tandas mereka.

Adakah saya masih boleh gunakan air ini untuk kegunaan harian?

Saya sering mandi menggunakan air ini.
Kalau air ini sekarang najis, perlukah saya bersihkan segala lantai, perabut dan pakaian yang telah saya sentuh atau gunakan?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Air menjadi najis apabila najis jatuh ke dalamnya dan mengubah salah satu daripada tiga sifatnya: warna, bau, atau rasa. Jika air itu sedikit (kurang daripada dua qullah, iaitu kira-kira 270 liter), ia akan menjadi najis walaupun sifatnya tidak berubah. Namun, jika air itu banyak (dua qullah atau lebih), ia tidak akan menjadi najis melainkan salah satu sifatnya berubah.

Tahi cicak dianggap najis. Oleh itu, jika tahi cicak jatuh ke dalam air, hukum air tersebut akan terjejas.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, jika air dalam besen anda sedikit dan tahi cicak jatuh ke dalamnya, maka air tersebut menjadi najis secara automatik ataupun mutannajjis, walaupun anda tidak melihat perubahan pada warna, bau, atau rasanya. Ini kerana air yang sedikit mudah terjejas oleh najis.

Oleh itu, jika air dalam besen menjadi najis, maka anda tidak boleh menggunakan air tersebut untuk bersuci (mandi wajib, wuduk) atau untuk kegunaan harian yang memerlukan air suci (seperti membasuh pakaian yang akan digunakan untuk solat). Air tersebut perlu dibuang dan besen dibersihkan. Mengenai lantai, perabot, dan pakaian, jika air yang anda gunakan untuk mandi atau membasuh telah menjadi najis, maka apa sahaja yang bersentuhan dengan air najis tersebut juga akan menjadi najis. Justeru itu, ianya perlu dibersihkan dengan air mutlak sehingga hilang kesan najis dari segi warna, bau, atau rasa.

Bagi mengelakkan masalah ini berulang semula, adalah disarankan untuk menutup besen air agar tidak dicemari oleh tahi cicak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 10

message user image