Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz, saya ingin bertanyakan satu masalah hukum yang sangat mendesak berkaitan Umrah:
Kronologi:
Niat di Miqat: Seorang individu telah berniat Ihram Umrah di Miqat pada tahun lepas.
Niat Membatalkan: Sejurus selepas niat, dia merasa ragu/tidak mahu meneruskan umrah, lalu dia berniat di dalam hati untuk "membatalkan ihram" dan terus pulang ke Malaysia tanpa melakukan Tawaf, Saie, mahupun Tahallul.
Tempoh Tergantung: Sudah setahun dia berada di Malaysia. Dalam tempoh itu, dia telah melakukan semua larangan ihram (memakai pakaian berjahit, wangian, memotong kuku, dsb) termasuklah melakukan hubungan suami isteri (jimak) berkali-kali dan maksiat lain kerana menyangka ihramnya sudah terbatal.
Soalan Saya:
Status Ihram: Adakah benar individu ini dikira masih dalam keadaan Ihram (Muhrim) sejak setahun lalu kerana niat membatalkan ihram (Rafd al-Ihram) itu tidak sah?
Jalan Keluar (Makhraj): Memandangkan individu ini berada jauh di Malaysia dan sukar untuk segera kembali ke Mekah, adakah sah jika dia melakukan Tahallul Ihsar (kerana terhalang dari segi jarak/kemampuan) dengan hanya menyembelih Dam di Mekah (melalui wakil) dan kemudian bergunting rambut di Malaysia tanpa perlu Tawaf/Saie terlebih dahulu?
Kadar Dam: Oleh kerana kerosakan ini melibatkan jimak, adakah boleh dia bertaklid kepada Mazhab Hanafi yang menetapkan denda jimak dalam Umrah hanyalah seekor kambing, bukannya seekor unta seperti dalam Mazhab Syafi'i?
Tindakan Seterusnya: Adakah dia wajib melakukan Umrah Qada' (ganti) di masa hadapan selepas selesai proses tahallul ini?
Mohon pencerahan Ustaz agar individu ini dapat keluar daripada belenggu ihram ini dengan cara yang paling munasabah tetapi tetap mengikut lunas syarak. Terima kasih, Ustaz.
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, rafdh al-ihram, iaitu niat membatalkan ihram umrah atau haji sesuka hati adalah tidak dibenarkan mengikut empat mazhab dan tidak mengeluarkan seseorang daripada keadaan ihram dan termasuk dalam perbuatan dosa besar. Dalam konteks ini, Tahallul Ihsar tidak boleh diguna pakai kerana ihsar yang dibenarkan adalah ihsar ketika berihram, bukan selepas pulang ke tanah air seperti mana yang dinyatakan dalam Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-33.
Berkenaan bayaran dam bagi perbuatan ini, disebutkan dalam kitab al-Bahr al-Raiq (3/17):
قَالَ فِي اللُّبَابِ اعْلَمْ أَنَّ الْمُحْرِمَ إذَا نَوَى رَفْضَ الْإِحْرَامِ فَجَعَلَ يَصْنَعُ مَا يَصْنَعُهُ الْحَلَالُ مِنْ لُبْسِ الثِّيَابِ وَالتَّطَيُّبِ وَالْحَلْقِ وَالْجِمَاعِ، وَقَتْلِ الصَّيْدِ فَإِنَّهُ لَا يَخْرُجُ بِذَلِكَ مِنْ الْإِحْرَامِ، وَعَلَيْهِ أَنْ يَعُودَ كَمَا كَانَ مُحْرِمًا وَيَجِبُ دَمٌ وَاحِدٌ لِجَمِيعِ مَا ارْتَكَبَ، وَلَوْ كُلَّ الْمَحْظُورَاتِ، وَإِنَّمَا يَتَعَدَّدُ الْجَزَاءُ بِتَعَدُّدِ الْجِنَايَاتِ إذَا لَمْ يَنْوِ الرَّفْضَ
Maksudnya: Disebutkan dalam kitab al-Lubab bahawa seseorang yang berihram, apabila dia berniat untuk membatalkan ihramnya, lalu dia melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh orang yang halal seperti memakai pakaian, memakai wangian, bercukur, melakukan persetubuhan, dan membunuh binatang buruan, maka sesungguhnya dia tidak keluar daripada ihram dengan perbuatan tersebut. Wajib ke atasnya untuk kembali kepada keadaan asalnya sebagai seorang yang berihram, dan diwajibkan satu dam sahaja bagi semua pelanggaran yang telah dilakukannya, walaupun dia melakukan semua larangan ihram. Dam itu hanya menjadi berbilang dengan berbilangnya kesalahan jika dia tidak berniat untuk membatalkan ihram.
Justeru, dia hanya perlu membayar satu dam sahaja bagi kesemua perbuatannya yang dikategorikan sebagai larangan ihram dan perlu segera menunaikan umrah bagi menyelasaikan ihramnya.
Sekian, terima kasih.