BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan hukum munakahat. Sekadar ingin tahu untuk menambah pengetahuan diri. Saya pernah berjumpa dengan sepasang suami isteri yang bertukar alih peranan di mana suami menjadi suri rumah dan menguruskan urusan anak sepenuhnya manakala isteri pula yang bekerja mencari nafkah untuk keluarga. Bolehkah berikan kepada saya hukum jelas bagi situasi ini beserta dalil atau hujah yang mudah untuk saya fahami. Dan adakah akan memberikan kesan kepada keluarga di masa akan datang? terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Nafkah merupakan tuntutan wajib yang perlu dipenuhi oleh seorang suami kepada isterinya mengikut kadar kemampuan suami dan tidak sesekali gugur. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 233:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. 

Kewajipan nafkah tetap terletak pada suami. Walaupun isteri bekerja dan mencari nafkah, ia adalah sumbangan sukarela dari isteri. Jika suami tidak mampu menyediakan nafkah, isteri boleh bekerja untuk membantu, tetapi kewajipan nafkah suami tidak gugur. 

Disebutkan dalam Mughni al-Muhtaj (5/151): 

وَبَدَأَ الْمُصَنِّفُ بِنَفَقَةِ الزَّوْجَةِ لِأَنَّهَا مُعَاوَضَةٌ فِي مُقَابَلَةِ التَّمْكِينِ مِنْ الِاسْتِمْتَاعِ، وَلَا تَسْقُطُ بِمُضِيِّ الزَّمَانِ.

Maksudnya: Pengarang (Imam Nawawi) memulakan dengan perbahasan nafkah isteri kerana ia merupakan suatu balasan (timbal balik) sebagai ganti kepada penyerahan diri (isteri) untuk tujuan istimta‘ (hubungan suami isteri). Nafkah tersebut tidak gugur dengan berlalunya masa.

Kesan terhadap keluarga tidak bergantung semata-mata pada pertukaran peranan, tetapi pada komunikasi, kefahaman, dan saling menghargai antara pasangan. Jika ini wujud, ia boleh menguatkan hubungan. Yang penting ialah anak-anak mendapat didikan, kasih sayang, dan perhatian yang mencukupi, kerana kualiti didikan lebih utama daripada siapa yang lebih banyak di rumah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 14

message user image