Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada beberapa soalan berkenaan musafir. saya bekerja di Genting Highland, saya tinggal di Bangi. Jarak perjalanan dari Bangi ke Genting adalah 75-77 km bergantung kepada laluan yang dilalu. Saya mendengar keterangan Dr Maza di youtube bahawa 2 marhalah itu adalah anggaran, bukan tepat. jadi adakah saya boleh menganggap 77 km itu sudah membolehkan saya untuk jamak dan qasar kan solat?
soalan kedua. jika tidak boleh jamak dan qasar, tetapi adakah boleh jamak qasar sekiranya saya singgah makan di gombak, dan jumlah jarak baru saya dari rumah ke gombak dan ke genting adalah 83 km? adakah dengan persinggahan itu dikira didalam jumlah jarak untuk ke destinasi?
Jawapan
Kadar 2 marhalah terkini yang ditetapkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan telah diwartakan di beberapa negeri adalah 81 kilometer (km). Jarak ini merupakan anggaran (taqribi) minimum untuk mengharuskan solat jamak dan qasar, diukur dari pintu rumah atau sempadan qaryah tempat tinggal.
Begitu juga keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-2/2021 yang bersidang pada 25 Rajab 1442H bersamaan 9 Mac 2021 memutuskan bahawa kadar dua (2) marhalah adalah tidak kurang daripada 81km.
Justeru, jika jarak yang tuan lalui kurang daripada 81km, maka tuan tidak boleh menunaikan solat fardhu secara jamak dan qasar.
Dalam mazhab Syafi'i, sekiranya seseorang mempunyai dua pilihan; pilihan pertama jarak mencapai 81km, manakalah pilihan kedua jaraknya kurang daripada 81km, lalu dia memilih jalan yang jauh dengan sesuatu tujuan yang harus seperti menziarahi rakan atau seumpamanya, maka harus baginya menunaikan solat fardhu secara jamak dan qasar. Adapun memilih jalan yang jauh tanpa sebarang sebab atau kerana sebab yang diharamkan syarak, maka tidak dibenarkan untuk jamak dan qasar.
Sekian, terima kasih.