Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya ingin bertanya tentang nazar. Saya bernazar berpuasa selama 2 minggu untuk mendapatkan jawatan. Pertanyaan saya,saya telah lupa bilangan hari saya telah puasa nazar dan saya tidak pasti saya bernazar puasa selama 2 minggu atau 1 minggu sahaja apa patut saya lakukan
Jawapan
Nazar adalah janji atau ikrar untuk melakukan sesuatu ibadah atau kebaikan jika sesuatu hajat tercapai atau sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT. Apabila seseorang bernazar, ia menjadi wajib untuk menunaikannya. Dalam kes anda, terdapat dua isu utama iaitu lupa bilangan hari puasa nazar yang telah ditunaikan dan tidak pasti tempoh nazar samaada 1 minggu atau 2 minggu.
Apabila seseorang bernazar tetapi tidak pasti mengenai jumlah atau tempoh nazar tersebut, dia wajib mengambil kira jumlah yang paling sedikit atau yang paling pasti. Ini adalah berdasarkan kaedah fiqh yang menyatakan bahawa keyakinan tidak boleh dihilangkan oleh keraguan. Dalam konteks nazar, jika anda ragu-ragu antara 1 minggu atau 2 minggu, anda boleh memilih yang paling sedikit iaitu 1 minggu. Namun, jika anda ingin lebih berhati-hati dan keluar dari khilaf (perbezaan pendapat ulama), anda boleh memilih tempoh yang lebih banyak. Pengarang kitab Mausu'ah Fiqhiyyah Kuwaitiyah menyatakan
إذا نذر صوم شهر فصام بعضه ثم شك في قدر ما صامه، فإنه يلزمه أن يأتي بالقدر المتيقن، وهو الأقل، ثم يكمل عليه، فإن شك هل صام خمسة أيام أو ستة، فإنه يلزمه أن يصوم خمسة أيام، ثم يكمل عليها ما يتيقن أنه لم يصمه.
" Jika seseorang bernazar puasa sebulan, lalu dia berpuasa sebahagian daripadanya kemudian dia ragu-ragu tentang kadar yang telah dipuasakannya, maka dia wajib melakukan kadar yang diyakini, iaitu yang paling sedikit, kemudian menyempurnakannya. Jika dia ragu-ragu sama ada dia telah berpuasa lima hari atau enam hari, maka dia wajib berpuasa lima hari, kemudian menyempurnakan apa yang dia yakini belum dipuasakannya".
Bagi menentukan pengesahan bilangan hari puasa yang telah dilaksanakan sewajarnya anda berusaha untuk mengingatinya. Jika masih tidak dapat mengingati dengan pasti, anda boleh menganggarkan bilangan hari yang paling mungkin telah anda puasa. Kemudian, anda perlu menyempurnakan baki hari puasa berdasarkan anggaran tersebut. Sekiranya anda masih ragu-ragu, anda boleh mengambil kira jumlah yang paling sedikit yang anda yakini, dan menyempurnakan bakinya. Ini adalah untuk memastikan nazar anda tertunai dengan sempurna.
Sekian, terima kasih.