Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalam.
Situasi:Pihak perempuan ayahnya sudah meninggal dan untuk wali nikah, ada seorang pakcik di kulim. Tetapi pakcik di kulim ini, ic berbin nama lain dengan arwah ayah pihak perempuan. Kedua2 ayah dan pakcik kulim ada adik beradik cumanya mereka berdua adalah rakyat indonesia di mana pada tahun 90an untuk mendapat ic biru, mereka kena letak nama ayah berbeza(angkat) untuk dpt ic biru. Sijil surat beranak mereka antara ada di indonesia atau sudah hilang.
Soalan: adakah boleh kami pakai wali hakim jika tiada document yang boleh mengesahkan atau ada option lain?
Terima kasih
Jawapan
Menjawab pertanyaan saudara:
Sekiranya seorang perempuan ingin berkahwin dan wali mujbirnya (bapa atau datuk sebelah bapa) telah meninggal dunia, maka hak kewalian akan berpindah kepada wali yang seterusnya mengikut turutan yang ditetapkan oleh syarak.
Dalam konteks tersebut, sekiranya wali yang layak seterusnya ialah saudara lelaki seibu sebapa jika ada dan seterusnya saudara lelaki sebapa jika ada dan seterusnya bapa saudara sebelah bapa, namun nama bapanya dalam kad pengenalan berbeza dengan nama bapa arwah bapa pengantin perempuan, maka lazimnya bapa saudara tersebut boleh membuat Surat Akuan Sumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah yang beragama Islam. Dalam akuan tersebut hendaklah dinyatakan bahawa mereka berdua merupakan adik-beradik seibu sebapa yang sah, serta menjelaskan bahawa perbezaan nama bapa adalah berpunca daripada faktor pentadbiran atau birokrasi semasa proses pendaftaran kad pengenalan.
Sama ada boleh menggunakan wali hakim atau tidak sekiranya dokumentasi pembuktian tersebut tidak lengkap adalah tertakluk kepada syor serta pertimbangan pihak Pejabat Agama Islam Daerah dan Mahkamah Syariah.
Sehubungan itu, bagi mendapatkan kepastian dan panduan yang tepat, saudara disarankan untuk merujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan, kerana pihak tersebut merupakan autoriti yang berbidang kuasa dalam mengurus serta memberikan penjelasan berhubung perkara ini.
Sekian terima kasih