BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/ Puan,

Saya ingin mendapatkan penjelasan yang lebih tepat berhubung perkara berikut dan harap mendapat penerangan yang jelas supaya saya tidak dibelenggu dosa jika perkara yang berlaku ini tidak diselesaikan mengikut hukum yang sebetulnya.

1. Situasi berlaku ketika berlaku pergaduhan di antara pasangan dan di dalam pergaduhan ini isteri telah melafazkan ketika marah dengan menyatakan 'DEMI ALLAH, SAYA TIDAK AKAN BALIK KE RUMAH AWAK LAGI' dan apakah yang akan berlaku ketika suasana telah baik, isteri balik dan mendiami rumah semula.

2. Apakah hukum suami menyatakan 'FEEDUP' kepada isteri semasa suasana tegang dan ketika suami merasakan isteri tidak dapat mengikut kehendaknya apabila berada di dalam lingkungan keluarga suami. Adakah jatuh apa-apa talak? ianya umpama suami sudah tidak gembira dan tidak suka pada isterinya. Ini adalah kerana suami merasakan isteri tidak memberi layanan seperti yang suami inginkan dan sengaja mencari persengketaan terhadap keluarganya sedangkan isteri hanya tidak bercakap (bukan tidak bertegur sapa - hanya kurang bercakap berbanding bersama keluarga isteri atas alasan tiada perkara yang perlu dikongsinya)

3.  Apakah hukum isteri yang tidak dapat melayan keluarga suami sebaiknya kerana berasa tidak selesa kerana keluarga suami suka bercakap berkenaan keburukan orang lain dan bercakap tentang harta benda, ini membuatkan isteri tidak selesa dan tidak suka berada di dalam kalangan keluarga tersebut.

4.  Apakah hukum suami menuduh isteri JAHAT dan apa perlu isteri lakukan?

 

Mohon dapat penjelasana dan penerangan dari pakar bagi memastikan situasi ini dapat diselesaikan dengan baik. Syukran.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Menjawab persoalan yang dikemukakan:

1) Ayat yang dilafaz oleh isteri iaitu : 'DEMI ALLAH, SAYA TIDAK AKAN BALIK KE RUMAH AWAK LAGI' adalah ayat berbentuk sumpah. Oleh kerana isteri telah melanggar sumpah, dia dikenakan kaffarah sumpah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 89

لَا یُؤَاخِذُكُمُ ٱللَّهُ بِٱللَّغۡوِ فِیۤ أَیۡمَـٰنِكُمۡ وَلَـٰكِن یُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ ٱلۡأَیۡمَـٰنَۖ فَكَفَّـٰرَتُهُۥۤ إِطۡعَامُ عَشَرَةِ مَسَـٰكِینَ مِنۡ أَوۡسَطِ مَا تُطۡعِمُونَ أَهۡلِیكُمۡ أَوۡ كِسۡوَتُهُمۡ أَوۡ تَحۡرِیرُ رَقَبَةࣲۖ فَمَن لَّمۡ یَجِدۡ فَصِیَامُ ثَلَـٰثَةِ أَیَّامࣲۚ ذَ ٰ⁠لِكَ كَفَّـٰرَةُ أَیۡمَـٰنِكُمۡ إِذَا حَلَفۡتُمۡۚ وَٱحۡفَظُوۤا۟ أَیۡمَـٰنَكُمۡۚ كَذَ ٰ⁠لِكَ یُبَیِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَایَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

Maksudnya : Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.

2) Hanya suami berkata: 'FEEDUP' tiadalah kaitannya dengan talak atau seumpamanya.

3) Tiada hukum tertentu jika isteri mengambil sikap begitu, melainkan jika dengan bertindak sedemikian mendatangkan kebaikan padanya dapatlah dia perkara yang baik. Begitu juga jika dia melakukan kejahatan, maka dapatlah juga balasannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 7:

إِنۡ أَحۡسَنتُمۡ أَحۡسَنتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡۖ وَإِنۡ أَسَأۡتُمۡ فَلَهَاۚ

Maksudnya : Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.  

4) Hukumnya berdosa. 

Oleh kerana situasi ini menunjukkan ketidakharmonian dalam rumahtangga disarankan agar pasangan hadir ke sesi khidmat nasihat kekeluargaan di Pejabat Agama Islam Daerah yang terdekat untuk penyelesaian dan tindakan yang sewajarnya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 8

message user image