Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asalamualaikum wbr
Antara soalan saya adalah seperti di bawah :
1) Untuk solat-solat kita yang kita rasa kurang sempurna dahulu, dari segi khusyuk dan kelancaran bacaan, adakah ianya termasuk dalam senarai solat yang perlu diqada?
2) Adakah dibolehkan untuk qada solat fardhu hanya sebagai ihtiyat (langkah berhati-hati sahaja) atas solat-solat terdahulu, sedangkan saya jarang tinggalkan solat fardhu. Kalau ada yang tertinggal pun in sya Allah semua telah diqada sejurus selepas tertinggal.
3) Untuk solat terawih, jika saya keluar dari saf selepas selesai 8 rakaat bersama imam, kemudian saya berehat sambil mengaji al quran atau berzikir, kemudian saya masuk semula saf untuk sertai imam untuk solat sunat witir selepas imam selesai 20 rakaat. Adakah ini dibolehkan dan adakah saya masih dikira mendapat pahala seperti beribadah di sebahagian malam kerana saya masih menunggu untuk witir bersama imam walau pun saya hanya tunaikan 8 rakaat sahaja terawih, sedangkan imam tunaikan 20 rakaat.
4) Bagaimana dengan solat ketika ditahan di wad dengan keadaan sebahagian tangan ditutup dengan pelekat di tempat yang doc masukkan jarum. Biasanya saya lalukan sahaja air wudhu di atas pelekat sebab ianya tidak boleh dibuka atas sebab keselamatan. Adakah wudhu saya sah dan adakah solat saya sah dengan wudhu sebegitu?
Diharap pihak mufti atau wakil dapat menjawab semua persoalan yang saya senaraikan ini. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
1) Imam Al-Nawawi dan juga jumhur ulama menyatakan bahawa solat yang dilakukan dengan tidak khusyuk tidak membatalkan solat. Ia tidak termasuk solat yang perlu diqada'kan sekiranya solat tersebut telah sempurna rukun-rukun dan syarat sah solat. Walaupun begitu, tidak khusyuk di dalam solat akan mengurangkan pahala solat dan menjadikan solat seseorang itu tidak sempurna. Justeru, digalakkan bagi umat Islam untuk mengiringi solat sunat rawatib setelah selesai solat fardu bagi menampung kekurangan dalam solat fardu yang telah dikerjakan.
2) Tidak disyariatkan untuk qada' semata-mata atas dasar ihtiyat tanpa sebab. Lebih-lebih lagi puan telah meyakini bahawa puan telah menggantikan solat terdahulu yang tertinggal. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah menyatakan bahawa:
Maksudnya: Asal sesuatu itu adalah bebas daripada tanggungan (bara’ah zimmah).
Maka, puan tidak dibebankan dengan mengerjakan solat sehinggalah sampainya beban solat yang baru atau solat yang terdahulu diyakini masih tidak dilunaskan lagi.
3) Bagi yang melakukan solat sunat tarawih kurang daripada dua puluh rakaat seperti lapan rakaat, maka ganjaran solat tarawihnya mengikut bilangan rakaat yang dilakukannya. Imam Syarawani menyebut dalam karyanya:
Maksudnya: (Imam Nawawi berkata: Begitu juga sesiapa yang melakukan sebahagian daripada tarawih) iaitu seperti memendekkannya menjadi lapan rakaat maka ganjaran pahala ke atas mereka mengikut apa yang mereka lakukan dengan sebahagian tarawih. Walaupun ia telah berniat pada permulaan tarawih untuk memendekkannya (lapan rakaat) sebagaimana yang dilakukan di sesetengah tempat.
Begitu juga, bertepatan dengan hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang mengdirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu. (Riwayat al-Bukhari)
Di dalam hadis ini menyebutkan bahawa sesiapa yang bersungguh-sungguh dalam menghidupkan atau membangunkan malam-malam di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT akan mendapat ganjaran amat besar iaitu dihapuskan segala dosa-dosa yang pernah dilakukan. Imam al-Nawawi memberi maksud menghidupkan Ramadhan adalah dengan solat Tarawih.
Di samping itu, meskipun puan hanya mengerjakan 8 rakaat Tarawih tetapi puan tetap mengerjakan solat witir bersama Imam, maka puan boleh mendapat pahala seperti beribadah qiyam semalaman sebagaimana disebutkan dalam hadis.
4) Mengikut panduan ibadah pesakit yang dikeluarkan oleh JAKIM menyatakan sekiranya tedapat kawasan yang bertampal atau berbalut di sebahagian tempat wuduk:
a) Hendaklah basuh bahagian kawasan yang boleh dikenakan air beserta niat wudhuk dan kemudian sapu air di atas pembalut. Jika mendatangkan mudharat tidak perlu disapu.
b) Solat yang dilakukan tidak perlu diulang.
Justeru, wuduk dan solat yang dikerjakan tersebut adalah sah dan tidak perlu diulang kembali.
Sekian, terima kasih.