BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz..sy mohon cerai kerana suami berpoligami secara syp² di Thailand  pd tahun 2018(saya baru tahu tahun 2023)dan dia banyak burukkan saya pada isteri baru dia.saya mintak dia daftar segera supaya blh hidup cara yg sah disini tapi dia tidak mahu.dia byk lukakan hati saya,dan saya dapat rs perasaan dia lebih pd yg disana krn disana boleh layan dia tanpa sekatan.almaklumlah jumpa skjp².jadi macam kekasih hati.saya cuba terima keadaan ni selama 3thn ni ,tapi skrg saya dh tak boleh terima.saya alami tekanan perasaan dan emosi jadi tak stabil.suami plk seorang yang tak jaga sembahyang(tidur dr subuh,asar baru bangun),suka lepak dgn kwn(setiap malam,4pg baru balik),suka tidur sepanjang hari dan dia juga seorang yg sedikit baran kalau saya sentuh hal kawen syp² tu dan kalau saya dapat buka tel dia.saya mohon cerai kerana dh tak tahan semua ni.suami duk kata saya nk ke neraka ke?betul ke sy akan ke neraka kalau teruskan fail cerai ni ust?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

Sebuah hadis daripada Thawban R.A berkata : Rasulullah SAW bersabda :

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا الطَّلَاقَ مِنْ غَيْرِ مَا بَأْسٍ، فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ

Maksudnya : Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa sebarang alasan (yang dibenarkan syarak), maka haram baginya mencium bau syurga (al-Tirmizi)

Hadis ini menjelaskan tentang ancaman kepada mana-mana isteri yang meminta cerai tanpa ada alasan-alasan yang munasabah pada syarak, namun para ulama juga menjelaskan bahawa

  • Larangan ini hanya jika tiada alasan yang munasabah / syarie.
  • Jika ada sebab yang sah, yang munasah pada syarak, ada kemudaratan dalam rumahtangga, maka tidak berdosa bagi isteri tersebut untuk meminta perceraian atau membuat permohona cerai di mahkamah.

Di antara sebab atau alasan yang dibenarkan kepada isteri untuk menuntut fasakh sebagaimana yang diperuntukkan di dalam syeksen 53 Enekmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2023:

     1. Suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;

     2. Suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;

     3. Suami lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita dengan sebab kelakuan aniaya;

     4. Suami cuba memaksa isteri hidup secara tidak bermoral;

     5. Suami melupuskan harta isteri atau melarang isteri menggunakan haknya terhadap harta itu;

     6. Suami menghalang isteri daripada menunaikan kewajipan agama;

     7. Jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, tidak melayan isteri itu secara adil mengikut Hukum Syarak.

Semua yang di atas ini termasuk dalam kaedah fiqh:

الضرر يزال

Maksudnya: Kemudaratan itu wajib dihilangkan.

Maknanya, Islam tidak memaksa isteri terus hidup dalam kemudaratan dan adalah tidak benar isteri akan masuk neraka hanya kerana memfailkan cerai dalam situasi seumpama ini.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 3

message user image