Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Kehadapan Jabatan Mufti Negeri Selangor
Saya ada satu soalan tentang nazar, baru baru ini saya bernazar untuk murajaah juz 25 setelah memperoleh sesuatu.
Soalan saya, dari ayat saya bernazar "murajaah juz 25" adakah nazar ini berterusan sehingga hujung nyawa kerana murajaah merupakan tanggungjawab yang digalas oleh penghafal alquran dan saya merupakan salah seorang daripadanya.
Ataupun saya hanya perlu murajaah sekali mengikut kefahaman saya (mengingat semula juz 25), dan setelah itu saya murajaah alquran seperti biasa tanpa terikat dengan nazar ini.
Terima kasih atas pencerahan.
Jawapan
Nazar dikira sah dan terlaksana apabila terdapat tiga rukun iaitu indvidu yang bernazar, sighah (perkataan) nazar dan juga perkara yang dinazarkan. Perlu difahami bahawa sesuatu perkara dikira sebagai nazar apabila diucapkan dengan lafaz untuk bernazar. Sesuatu nazar sudah dikira terlaksana apabila telah menyelesaikannya sekali sahaja. Dalam hal ini, cukup dengan hanya sekali murajaah juz 25 untuk terlaksana nazar tersebut. Hal ini kerana secara zahirnya sighah nazar tidak menetapkan syarat untuk diulang banyak kali atau berterusan. Oleh itu, sudah memadai dengan sekali murajaah.
Sekian, terima kasih.