Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya anak sulung perempuan yang akan menikah tidak lama lagi. Ayah saya sudah meninggal dunia sewaktu umur saya 14 tahun serta datuk saya (ayah kepada ayah saya) juga telah meninggal dunia. Saya mempunyai seorang adik kandung lelaki yang berumur 20 tahun.
Saya sudah rancang untuk adik lelaki saya menjadi wali semasa saya nikah nanti. Tetapi baru baru ini, adik saya telah terbongkar yang dia pernah melakukan zina dengan kekasihnya, tetapi tidak pernah bersetubuh (hanya luaran) dan perkara itu telah berlaku setahun yang lepas. Saya sudah minta adik saya untuk bertaubat dengan penuh penyesalan kepada Allah SWT.
Masih layak ke adik kandung lelaki saya untuk menjadi seorang wali? Saya tidak rapat dengan abang abang arwah ayah saya.
Terima kasih sudi menjawab soalan.
Jawapan
Menjawab pertanyaan saudari:
Salah satu syarat sah bagi wali ialah bersifat ‘adil. Yang dimaksudkan dengan ‘adil ialah tidak melakukan dosa besar seperti meninggalkan solat, tidak berterusan dalam dosa-dosa kecil, serta tidak mencemarkan maruah diri seperti kencing di tempat terbuka, berada di pusat hiburan, pusat perjudian dan seumpamanya.
Sifat ‘adil ini dinilai berdasarkan zahir, bukan batin. Oleh itu, dalam urusan perwalian, syarak mengambil kira keadaan semasa seseorang, bukan kesalahan lampau yang telah ditaubati. Memadai seseorang itu tidak secara terang-terangan meninggalkan solat, melakukan maksiat, tidak berpuasa, atau dikenali sebagai peminum arak, maka dia dianggap sebagai ‘adil, seterusnya layak menjadi wali, dan akad nikah yang dilangsungkan olehnya adalah sah.
Dalam amalan semasa, menjadi kelaziman bagi Penolong Pendaftar Perkahwinan atau jurunikah, sebelum melaksanakan akad nikah, memastikan semua syarat sah perkahwinan dipenuhi agar pernikahan tersebut sah menurut hukum syarak. Antara yang dilakukan ialah mengajak hadirin, khususnya wali yang akan menikahkan anak, adik perempuan atau kakaknya, supaya bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Hal ini bertujuan memastikan wali berada dalam keadaan bersih daripada dosa ketika akad nikah dilangsungkan.
Sekiranya selepas akad nikah, wali tersebut kembali melakukan dosa atau maksiat, hal itu tidak menjejaskan kesahan pernikahan yang telah berlangsung. Ini kerana ketika akad dijalankan, wali dianggap telah bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT.
والله أعلم بالصواب
Sekian terima kasih