Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya ingin bertanya. Saya telah berkahwin di Kuala Lumpur pada November 2025. Akad nikah saya adalah seutas rantai leher emas berharga RM1995.90. Saya dan suami menyangka semasa akad, hanya perlu sebut rantai leher emas sahaja, namun, pada hari akad, jurunikah meminta suami untuk menulis dan menyebut juga harga rantai emas tersebut. Suami lupa harga sebenar rantai emas tersebut dan menyebut RM1995.
Soalannya, adakah sah akad tersebut sekiranya harga emas yang dibeli tidak sama dengan harga yang disebut semasa akad?
Terima Kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, jika mahar yang dimaksudkan ialah barang itu sendiri (contohnya rantai leher emas) dan ia telah ditentukan serta diserahkan, maka akad nikah adalah sah walaupun terdapat perbezaan pada anggaran harga yang disebut. Sebaliknya, jika mahar yang dimaksudkan ialah nilai wang tertentu, maka suami wajib menunaikan jumlah tersebut sepenuhnya, termasuk melengkapkan sebarang kekurangan nilai.
Secara prinsipnya, jika berlaku kekeliruan atau mahar tidak dinyatakan dengan tepat, akad nikah tetap sah dan kewajipan mahar ditentukan berdasarkan mahar yang setara (mahar misil). Perbezaan kecil pada nilai mahar yang disebut tidak membatalkan akad nikah. Penentuan adalah berdasarkan niat dan persetujuan kedua-dua pihak, serta kewajipan suami untuk menunaikan mahar sebagaimana yang dipersetujui.
Sekian terima kasih