BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz. Saya ada persoalan mengenai fasakh. Saya sudah berkahwin hampir 14 tahun tetapi tidak pernah menerima nafkah batin (tiada persetubuhan), dan nafkah duit hanya diberikan beberapa kali sahaja bukan seperti dijanjikan sebelum nikah.
1. Soalan tentang iddah:
Jika saya memohon fasakh, adakah saya mempunyai tempoh iddah? Jika ada, adakah saya perlu keluar dari rumah suami atau boleh menjalani iddah di rumah tersebut? Selain itu, sebelum keputusan fasakh keluar, adakah saya boleh tinggal di rumah suami atau lebih baik berasingan? Dan selepas keputusan fasakh, adakah saya boleh tinggal sementara di rumah suami sehingga saya mendapat tempat tinggal baru? Adakah berdosa jika saya tinggal berasingan dengan izin suami sementara menunggu keputusan?
2. Apakah hukum suami tidak memberi nafkah batin jika dia tidak mampu, adakah dia berdosa sepanjang 14 tahun perkahwinan?
3. Adakah lebih baik saya tidak meminta fasakh dan terus bersabar? Suami saya baik dan kami tidak bergaduh, tetapi dia tidak mampu memberi nafkah batin. Saya tidak pasti sama ada masalah ini berpunca daripada saya atau suami.
Terima kasih Ustaz.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Menjawab persoalan puan,

1) Tuntutan fasakh boleh dibuat di Mahkamah Syariah berhampiran dengan kediaman dan sekiranya Mahkamah Syariah meluluskan fasakh dan puan benar-benar belum pernah bersetubuh, maka tiada tempoh iddah bagi puan. Sebelum keputusan fasakh keluar, isteri boleh tinggal di rumah suami atau tinggal berasingan dengan izin suami kerana fasakh adalah pembubaran perkahwinan yang diputuskan oleh Hakim Syarie. Sebaik sahaja hakim memutuskan fasakh, ikatan perkahwinan terputus serta-merta dan puan menjadi ajnabi (orang asing) bagi suami. Oleh itu, haram untuk tinggal serumah berdua-duaan tanpa mahram yang lain dan perlu segera berpindah.

2) Nafkah batin adalah hak isteri yang wajib dipenuhi oleh suami mengikut kemampuannya namun perlu dilihat sama ada disengajakan atau tidak. Sekiranya suami sengaja tidak memberi nafkah maka berdosa.

3) Apapun keputusan hidup dalam perkahwinan itu terpulang kepada pilihan masing-masing sama ada untuk meneruskannya atau tidak. Solatlah istikharah memohon petunjuk dari Allah SWT. Fikir-fikirkan hala tuju perkahwinan itu matlamatnya apa. Bukan sahaja untuk kehidupan di dunia tetapi di akhirat kelak. Fikir yang baik-baik mudah-mudahan kebaikannya kembali kepada kita juga.   

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 7

message user image