Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada dua soalan:
Soalan 1:
Saya ingin bertanya tentang perlukah saya membuat pengesahan lafaz taklik saya dengan pejabat agama/ mahkamah syariah jika syarat yang ditetapkan belum lagi dilanggar?
Contoh lafaz taklik:
Jika kamu menghubungi bekas kekasih kamu atau lelaki lain tanpa kebenaran atau pengetahuan saya, maka saya lepaskan kamu.
Si isteri masih tidak melanggar syarat yang ditetapkan. Perlukan taklik in dibuat pengesahan di pejabat agama?
Soalan 2:
Lafaz taklik diatas dibuat didalam app telefon bimbit contohnya di dalam app Words atau Notes. Adakah lafaz taklik itu sah jika tidak ditunjukkan kepada isteri atau si isteri secara tidak sengaja terjumpa dokumen itu?
Terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan:
1. Tidak perlu membuat pengesahan lafaz taklik talak di Pejabat Agama Islam Daerah atau Mahkamah Syariah selagi syarat taklik talak tersebut belum dilanggar.
2. Menurut Mazhab Syafi‘i, talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan secara khusus kepada isterinya, seperti melalui faksimili, SMS, e-mel dan seumpamanya, termasuk dalam kategori talak kinayah dan adalah sah sekiranya disertai dengan niat. Hal ini selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59 yang bersidang pada 27 Ogos 2003 yang membincangkan isu perceraian melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS).
Adapun jika catatan lafaz tersebut hanya disimpan dalam aplikasi seperti Notes atau dokumen Word tanpa sebarang niat untuk ditunjukkan kepada isteri, maka ia lebih bersifat cadangan, perancangan atau catatan peribadi semata-mata. Sekiranya isteri menemui sendiri catatan tersebut tanpa adanya niat suami untuk menyampaikannya, maka talak tidak berlaku kerana tiada qasad (niat) untuk menyampaikan kepada isteri.
Namun begitu, sekiranya suami berniat untuk menceraikan isterinya ketika menulis lafaz tersebut serta berniat untuk menunjukkan atau menghantarnya kepada isteri, maka keadaan tersebut berpotensi menyebabkan berlakunya talak, khususnya apabila syarat taklik itu dilanggar.
Walau bagaimanapun, sekiranya tuan memerlukan penjelasan lanjut, disarankan untuk merujuk kepada mana-mana Jabatan Agama Islam atau Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran, kerana institusi tersebut mempunyai bidang kuasa dan autoriti dalam menjelaskan persoalan talak serta menyediakan khidmat nasihat kekeluargaan Islam.
Sekian terima kasih