Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Dato Mufti:
1.Soalan saya hari itu saya nak cakap " saya pergi dulu" kepada isteri saya taip di WhatsApp tiba- tiba saya ada niat atau lintasan macam niat cerai dan saya tak send saya terus padam mesej adakah ini kira cerai walaupun tak send adakah ia bole jatuh ? Dan perkataan pergi dan pergilah kira sebagai talak kinayah? Kalau niat?
2. Kalau ada mesej talak kinyah contoh kau pergilah dari aku di WhatsApp tapi mesej tu dah lama saya pun tak niat tapi tiba- tiba saya ingat yang saya pernah hantar mesej tu kat isteri saya dan saya macam ada niat dan tak adakah talak kinayah jatuh kepada mesej yang lama bukankah talak jatuh bersama dengan niat semasa type mesej ? Atau mesej lama pun dikira juga ? Dan adakah juga mesej lama yang talak kinyah sebelum nikah di kira ?
3. lintasan hati untuk talak tapi saya tahu perkataan tu ada tala kinayah kalau niat dan perlukah saya berhenti perktaan sebut atau buat Tak kisah sahaja lintasan tu contoh macam isteri saya cakap nak pergi keluar saya cakap ok atau pergilah adakah jatuh ? Dan perlukah saya kena elak atau tidak perlu cakap perkatan yang boleh bawah talak kinayah walaupu tahu akan ada lintasan atau niat untuk talak semasa cakap atau type di mesej contoh pergilah, pergi atau apa- apa perkataan yang bawa maksud talak kinayah? Atau
Cakap sahaja tanpa pedulikan lintasan itu ?,macam mana ye hukum nya ? Dato Mufti
Jawapan
Menjawab soalan yang diajukan:
1. Lafaz cerai, sama ada secara lisan atau tulisan, hanya diambil kira apabila ia dilafazkan atau disampaikan. Dalam kes saudara, mesej tersebut hanya ditaip, tidak dihantar dan telah dipadam, maka ia belum dianggap sebagai lafaz yang sempurna. Oleh itu, talak tidak jatuh.
Perkataan seperti “pergi” atau “pergilah” ia termasuk dalam lafaz kinayah, iaitu lafaz yang boleh membawa maksud cerai atau selainnya. Lafaz kinayah tidak menyebabkan jatuh talak melainkan disertai dengan niat cerai ketika dilafazkan atau dihantar.
2. Talak kinayah bergantung kepada niat semasa lafaz dibuat. Contohnya, lafaz “kau pergilah dari aku” adalah kinayah, bukan sorih. Ia tidak menyebabkan talak melainkan jika ada niat cerai ketika lafaz itu ditulis dan dihantar.
Yang diambil kira ialah niat yang serentak dengan lafaz. Adapun niat yang datang kemudian, walaupun selepas beberapa saat, apatah lagi selepas tempoh yang lama, ia tidak memberi kesan dan tidak diambil kira dalam penentuan talak.
Sekiranya mesej tersebut dihantar sebelum akad nikah, maka ia tidak sah sebagai talak dan tidak memberi sebarang kesan, kerana talak hanya berlaku terhadap isteri yang sah dalam perkahwinan.
3. Lintasan hati atau niat yang datang secara tiba-tiba tidak dianggap sebagai niat yang sah dalam hukum talak. Dalam fiqh, niat mestilah berbentuk qasad (sengaja dan dimaksudkan), bukan sekadar lintasan atau was-was. Lintasan yang tidak dikawal adalah dimaafkan (معفوّ عنه).
Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah memaafkan umatku apa yang terlintas dalam hati mereka selagi tidak dilakukan atau diucapkan.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Adapun berkaitan lafaz kinayah seperti “pergi”, “pergilah” atau “ok, pergilah”, ia tidak menjadi talak secara automatik. Ia hanya menjadi talak apabila memenuhi dua syarat serentak:
Jika ia sekadar percakapan biasa atau disertai lintasan yang tidak pasti dan bersifat was-was, maka talak tidak jatuh.
Dalam situasi tuan, apabila isteri mengatakan ingin keluar lalu saudara menjawab “ok” atau “pergilah”, walaupun terlintas dalam hati seolah-olah ada niat cerai selagi tiada qasad yang jelas dan disengajakan untuk menceraikan, maka talak tidak berlaku.
Adakah perlu dielakkan?
Tidak perlu dielakkan secara berlebihan sehingga menimbulkan kesukaran atau was-was dalam kehidupan. Namun, adalah baik untuk berhati-hati, khususnya jika saudara mudah terganggu dengan lintasan tersebut bagi menutup pintu was-was.
Pendekatan terbaik dan praktikal adalah dengan teruskan bercakap seperti biasa dan abaikan lintasan hati tersebut. Anggap ia tidak wujud dari sudut hukum, serta jangan dilayan atau dianalisis secara berlebihan setiap perkataan atau ayat yang tuan lafazkan.
Sekian terima kasih