BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan. Saya ada persoalan. Beberapa bulan lepas, ketika bersembang dengan rakan sekerja. Ditengah perbincangan itu saya ada berkata "kira pergilah tu" tapi dalam masa yang sama dalam hati saya melintas niat cerai ketika saya melafazkan perkataan itu. Walhal perkataan itu saya asalnya nak tujukan kepada rakan saya. Adakah itu dikira sebagai lafaz kinayah? Saya sangat bimbang dalam masa yang sama tiada kesungguhan mahupun keazaman untuk cerai berlaku terhadap pasangan saya. Harap tuan dapat memberi jawapannya. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan tuan:

Lafaz “kira pergilah tu” yang diucapkan itu pada asalnya ditujukan kepada rakan sekerja, bukan kepada isteri. Oleh itu, lafaz tersebut tidak memenuhi ciri lafaz kinayah yang sah. Hal ini kerana ia bukan ditujukan kepada isteri, serta berlaku dalam konteks perbualan biasa dengan pihak lain tanpa sebarang qarinah (petunjuk) yang mengaitkannya dengan hubungan suami isteri.

Dalam hukum syarak, lafaz kinayah (kiasan) hanya diambil kira apabila ditujukan kepada isteri dan disertai dengan niat yang jelas untuk menceraikan.

Adapun lintasan hati atau niat yang hadir seketika, tanpa kesengajaan, tanpa kesungguhan (qasd), serta tidak dilafazkan secara jelas kepada isteri, maka ia sama sekali tidak menjatuhkan talak.

Namun begitu, apabila datang lintasan yang tidak baik, jangan sesekali dilayan. Lawanlah segera dengan istighfar dan zikir, kerana lintasan yang dibiarkan boleh berkembang menjadi kata, dan kata yang tidak dijaga mampu membawa implikasi yang besar terutama dalam kehidupan berumahtangga.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 7

message user image