BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum mufti, sedang saya mandi wajib, terdapat kata kufur dalam hati dan jugak kata dalam hati untuk membatalkan mandi. Ada ketika saya melawannya dan jugak saya tidak melayannya. Sebelah selesai, ada lintas untuk batal mandi wajib lalu saya berkata 'saya sudah mandi wajib dan tidak mahu mengulanginya dua tiga kali kerana sudah selesai'. Tidak lama kemudian, terlintas dalam hati saya bahawa ada tempat yang tidak kena air. Lalu saya pun masuk ke tandas dan niat sambung mandi wajib dengan meratakan air pada bahagian itu. 

Adakah mandi wajib saya ini sah? Kata kufur itu pula memang bercelaru dalam pikiran dan hati saya. Hal ini kerana saya ada penyakit was was dan dalam proses untuk melawan. Bagaimana dengan status ibadah saya dan adakah saya masih islam?

Mohon pencerahan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

.الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Pada asasnya, jika dilihat kepada syarat fardhu bagi mandi wajib, seseorang itu hanya perlu untuk menghilangkan najis di badannya sekiranya ada dan meratakan air ke seluruh badan dengan disertakan niat untuk mengangkat hadas. Apabila seseorang itu melaksanakan fardu mandi wajib maka mandi wajibnya telah sah. Merujuk persoalan yang diajukan, sekiranya seseorang itu sudah berniat untuk mandi wajib mengangkat hadas daripada awal, maka sahlah mandi wajib tersebut sekiranya dia sudah melakukan rukunnya dengan meratakan air ke seluruh badan walaupun hatinya terniat untuk membatalkan mandi wajib tersebut. Melainkan sekiranya dia tidak menyelesaikan rataan air pada seluruh badan ketika mandi.

Menjawab persoalan seterusnya iaitu, jika was-was itu berpunca daripada lintasan-lintasan di dalam hati atau bisikan-bisikan syaitan yang mengganggu, maka ia tidaklah membatalkan iman selagimana ia tidak mempengaruhi iman seseorang. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengatakan apa yang diwas-waskan. (Riwayat al-Bukhari )

Di samping itu, Imam Nawawi mengatakan bahawa lintasan-lintasan dan kata-kata di dalam hati, jika ia tidak menjadi tetap dan berterusan di dalam hati, maka orangnya diampunkan oleh Allah SWT dengan kesepakatan para ulama. Ini kerana dia tidak mempunyai pilihan ketika ia terjadi dan tiada jalan baginya untuk mengelak. Imam Nawawi juga menegaskan selagimana lintasan-lintasan hati itu tidak menjadi tetap seperti kekufuran dan lain-lain yang berlaku tanpa disengajakan lalu segera dijauhi, maka dia tidak menjadi kafir dan tiada apa-apa dikenakan ke atasnya( al-Azkar, 273)

Oleh yang demikian, dalam situasi ini, di mana keadaan fikiran sedang terganggu dan bercampur was-was. Maka ia termasuk dalam kategori tersilap, tersalah atau tidak disengajakan kerana hati tidak tetap (istiqrar) dengan maksud kekufuran. Ini bertepatan dengan Firman  Allah di dal  surah al-Ahzab ayat SWT di dalam surah :

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا 

Maksudnya: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Berikut merupakan beberapa cara atasi permasalahan was-was iaitu:-

1) Berusaha Mempelajari Ilmu Agama dan Mendalaminya

2) Sentiasa Berdamping dengan Ulama’ dan Orang-Orang Soleh

3) Bersabar dan Terus Mencuba Menentang Hasutan Syaitan

4) Berdoa, Bermunajat dan Berzikir kepada Allah SWT dalam Memohon Pertolongan Dari-Nya 

5) Mengambil Sikap Tidak Peduli Terhadap Was-was

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 5

message user image