Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pertanyaan Hukum Berkaitan Taklik, Mati Putik dan Status Perkahwinan
Assalamualaikum wbt,
Saya ingin memohon pandangan dan penjelasan daripada pihak tuan/puan berkaitan beberapa kemusykilan dalam rumah tangga saya.
Berkenaan lafaz taklik (janji suami)Suami saya pernah berjanji bahawa beliau tidak akan lagi menipu, bermain judi, dan melayan pornografi. Beliau menyatakan bahawa jika beliau melanggar janji tersebut, maka akan jatuh talak.Namun, beliau telah beberapa kali melanggar janji tersebut, khususnya dalam hal menipu.Persoalan saya, adakah lafaz taklik tersebut sah dan terpakai? Adakah talak jatuh apabila salah satu janji itu dilanggar?
Berkenaan masalah hubungan suami isteri (mati putik)Saya mengalami masalah mati putik dan berasa sakit apabila bersama selepas melahirkan anak. Perkara ini telah menyebabkan perselisihan kerana saya menolak untuk bersama disebabkan kesakitan tersebut.Tiada rawatan dilakukan, malah suami menyuruh saya menggunakan wang yang diberi untuk perbelanjaan bagi mendapatkan rawatan sendiri.Apakah pandangan dari sudut hukum dalam situasi ini?
Ucapan suami berkaitan perceraian Sejak kebelakangan ini, apabila berlaku pergaduhan, suami sering menyuruh saya keluar dari rumah dan mengajak untuk ke Mahkamah Syariah. Beliau juga kerap mengatakan jika tidak suka, boleh pergi tuntut cerai di mahkamah. Adakah ucapan sebegini memberi kesan kepada status perkahwinan kami?
Sehubungan itu, saya memohon penjelasan, adakah dalam keadaan ini kami masih dikira sebagai suami isteri yang sah dari segi hukum?
Kerjasama dan penjelasan daripada pihak tuan/puan amat saya hargai.
Sekian, terima kasih.
Wassalam.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
1. Dalam menentukan sama ada sesuatu lafaz talak itu jatuh atau tidak, ia amat bergantung kepada ketepatan, kejelasan serta bentuk lafaz yang diucapkan oleh suami. Dalam persoalan yang dikemukakan, tidak dinyatakan secara tepat lafaz sebenar yang dilafazkan, maka penentuan hukum secara khusus tidak dapat dipastikan.
Secara umum, sekiranya suami menyatakan di dalam lafaz taklik: "Jika suami langgar perjanjian, maka jatuh talak", ia boleh membawa kepada taklik talak. Ini bermakna jika suami melanggar perjanjian yang telah dibuat, talak boleh jatuh.
Walau bagaimanapun, dalam menentukan suatu lafaz taklik talak itu sah, atau talak telah berlaku secara taklik talak adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Oleh itu, sekiranya perkara ini berlaku, disarankan agar aduan dibuat kepada Pejabat Agama Islam Daerah yang terdekat bagi mendapatkan kepastian serta maklumat lanjut.
2. Dalam Islam, isteri pada asasnya wajib memenuhi tuntutan hubungan kelamin suami sekiranya mampu. Namun, kewajipan ini gugur apabila terdapat uzur syarie, seperti sakit, keletihan melampau atau keadaan kesihatan yang memudaratkan.
Dalam situasi puan yang mengalami kesakitan selepas bersalin, keadaan tersebut boleh dikategorikan sebagai uzur sekiranya disahkan oleh doktor. Oleh itu, isteri tidak berdosa menolak hubungan kelamin dalam keadaan tersebut, dan suami pula tidak berhak memaksa.
Adalah disarankan agar puan mendapatkan rawatan serta pengesahan perubatan bagi menyokong keadaan tersebut. Dalam masa yang sama, suami wajib memainkan peranan membantu mendapatkan rawatan dan menyediakan nafkah termasuk kos perubatan, kerana nafkah bukan sekadar makan dan minum, bahkan merangkumi keperluan asas seperti rawatan kesihatan.
Sehubungan itu, tindakan suami yang menyuruh isteri menggunakan wang perbelanjaan harian sedia ada untuk digunakan untuk mendapat rawatan adalah tidak menepati tanggungjawab nafkah secara sempurna. Membiarkan isteri untuk pergi mendapatkan rawatan sendiri bukanlah suatu tindakan atau layanan yang baik terhadap isteri sebagai yang diperintahkan oleh Islam.
3. Ucapan suami seperti “jika tidak suka, boleh pergi tuntut cerai di mahkamah” bukanlah termasuk lafaz talak sama ada secara soreh atau kinayah yang membawa kepada perceraian. Sebaliknya, ia merupakan lafaz berbentuk khabari, iaitu ungkapan cadangan, sindiran, atau luahan emosi ketika marah. Oleh itu, lafaz tersebut tidak menyebabkan jatuhnya talak.
Sekian terima kasih