BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Sepasang suami isteri telah tidur berasingan dan tidak berhubungan selama hampir 15 tahun kerana suami tidak berminat untuk berhubungan. Suami lebih suka sejenis. Pada awal perkahwinan tidak seperti itu tetapi berubah bila suami berkenalan dgn seorang gay. Suami juga pernah hidap penyakit kelamin tetapi telah diberikan rawatan dan pulih.

Isteri sentiasa bergelut dengan perasaan. Ingin bercerai tapi masih rasa kasihan pada suami dan tak suka melalui proses perceraian. 

Selain itu isteri merasakan tentu ada hikmah disebalik jodoh yg Allah tetapkan dan sentiasa berharap suami tunaikan haknya.

Ujian Allah datangkan seseorang yg mengambil kesempatan. Isteri hanyut seketika dan telah berlaku curang. 

Setelah tersedar isteri telah bertaubat tetapi tidak pernah bercerita pada suami kerana suami tak pernah ambil tahu berkenaan isteri.

Tiada komunikasi yang baik. Dan bercakap hanya berkaitan perkara penting.

Soalannya.

1. Perlukah isteri ceritakan hal curang dan memohon maaf.

2. Adakah perkahwinan ini jika diteruskan membawa lebih keburukan atau kebaikan dari segi hukum. Suami tidak memberi nafkah zahir dan batin. Boleh berikan beberapa sebab kerana isteri sentiasa rasa tak berpuas hati dan merana. Tiada pergaduhan kerana tiada komunikasi dan lebih kepada memendam perasaan. Bimbang isteri rasa dapat pahala tetapi sebenarnya jika perkahwinan ini diteruskan lebih banyak dosa yang dapat dan hilang keberkatan hidup.

Terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

1. Tidak wajib bahkan tidak digalakkan untuk membuka aib yang telah Allah SWT tutup, lebih-lebih lagi jika ia tidak membawa kepada keperluan syarie. Hal ini bertepatan dengan hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمُجَاهِرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا، ثُمَّ يُصْبِحُ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ، فَيَقُولُ: يَا فُلَانُ، عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ، وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Maksudnya:
“Setiap umatku akan diampuni kecuali mereka yang menzahirkan (mendedahkan) dosa. Dan sesungguhnya termasuk dalam perbuatan mendedahkan dosa itu ialah seseorang melakukan dosa pada waktu malam, kemudian pada pagi harinya sedangkan Allah telah menutupnya, dia berkata: ‘Wahai fulan, aku telah melakukan semalam sekian dan sekian.’ Padahal dia bermalam dalam keadaan Tuhannya menutup aibnya, lalu pada pagi hari dia membuka penutup Allah ke atas dirinya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Islam meletakkan asas perkahwinan atas dasar mawaddah wa rahmah (kasih sayang dan belas ihsan) yang dizahirkan melalui pelaksanaan tanggungjawab, hubungan suami isteri secara zahir dan batin, serta sikap saling membantu dan menghormati.

Sekiranya rumahtangga tersebut:

  • menyebabkan penderitaan berpanjangan,
  • wujud unsur pengabaian hak atau kezaliman,
  • menjejaskan ketenangan emosi dan maruah,
  • atau membuka ruang kepada berlakunya dosa,

serta suami tidak menunjukkan perubahan walaupun telah dinasihati, maka Islam tidak memaksa isteri untuk terus berada dalam keadaan tersebut.

Dalam situasi ini, puan mempunyai hak untuk:

  • memohon perceraian (talak) secara baik, atau
  • mengemukakan fasakh di Mahkamah Syariah atas alasan kemudaratan dan kegagalan suami menunaikan tanggungjawab.

Langkah ini bukanlah bertujuan memutuskan hubungan secara sembarangan, tetapi merupakan jalan penyelesaian yang diiktiraf syarak bagi menjaga agama, maruah, dan kesejahteraan hidup.

Islam menggalakkan menutup aib, namun tidak menafikan hak seseorang untuk mendapatkan keadilan apabila dizalimi. Maka, seimbangkan antara menjaga maruah dan menuntut hak dengan cara yang berhikmah, beradab, dan mengikut saluran yang dibenarkan syarak.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 6

message user image