Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya nak tanya ada lintasan kufur di dalam hati berkaitan kewujudan tuhan lalu saya mengucap dua kalimah syahadah dan juga berkata saya menarik semua lintasan kufur di dalam hati tadi iaitu 'Tuhan itu tiada'. Adakah ini dikira taubat dan saya masih kekal dalam islam. Saya amat memerlukan pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan situasi yang dijelaskan, difahami lintasan hati yang disebutkan itu adalah sekadar lintasan fikiran sahaja. Lintasan fikiran sebegini terkadang boleh muncul disebabkan oleh terdapat gangguan fikiran atau mempunyai penyakit waswas. Lintasan fikiran yang memikirkan ketiadaan tuhan atau berimajinasi perkara yang boleh membawa kekufuran tidak menjadikan seseorang itu terkeluar daripada Islam selagi mana tidak membenarkan apa yang difikirkan itu serta tidak beriktiqad seperti apa yang difikirkan.
Kesimpulannya, apa yang difikirkan oleh Tuan tidaklah mengakibatkan sehingga terkeluar daripada Islam. Tuan masih Islam dan tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana masih beriman kepada Allah SWT. Banyakkan beristighfar dan berdoa memohon perlindungan Allah SWT agar terpeliharan daripada hasutan dan bisikan syaitan yang menyesatkan.
Sekian, terima kasih.