Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT
Semasa berbual dengan suami tentang pelaburan insurans yang kami rasakan tidak berapa menguntungkan dan kami sedang merancang untuk surrender dari pelaburan tersebut saya secara spontan berkata " jika pulangan tersebut tidak seberapa (kerana tidak tahu kadar keuntungan yang sebenar) dan kita memang bayar zakat, membazir je"...Saya maksudkan pelaburan tersebut tidak berbaloi untuk diteruskan dan tidak sekali berniat menyatakan zakat itu membazir kerana saya memang seorang pembayar zakat dengan hati yang ikhlas setiap tahun....namun sejurus keluar kata kata tersebut saya menjadi sangat takut dan risau adakah saya telah tersalah cakap yang membawa kepada dosa atau mengganggu akidah...saya segera istighfar mohon ampun kpd Allah kerana takut... saya seorang yang sering diuji oleh penyakit was was dan selalu merasakan apa yang saya cakap tu salah dan boleh menggugat keimanan saya... saya sangat takut dan menjadi keliru hanya disebabkan oleh ayat yang saya sebut meski saya tidak berniat menghina hukum....adakah saya bersalah ustaz?
Jawapan
Merujuk kepada penjelasan puan, tindakan tersebut tidak membawa kepada dosa dan merosakkan akidah. Dalam Islam, sesuatu perkara adalah berdasarkan niat. Puan tidak berniat untuk menghina kewajipan membayar zakat, ia hanyalah kata spontan tersalah ungkap yang keluar berikutan pelaburan yang kurang menguntungkan. Bahkan, tindakan puan beristighfar memohon ampun kepada Allah merupakan tanda keimanan puan. Sebagai tambahan, bagi menghilangkan perasaan was-was, kita digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kepada Allah SWT, memahami bahawa perasaan was-was adalah gangguan atau bisikan syaitan yang boleh diatasi dengan ilmu, disiplin dan doa serta fokus kepada prinsip Islam yang mudah dan mengutamakan ketenangan hati.
Sekian. Terima kasih.