BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz, sebelum ini suami saya pernah menonton video/cerita lucah dan kami bergaduh. Kemudian dia bertaklik (saya tidak berapa ingat ayat sebenar) kalau dia tonton lagi benda seperti itu maka jatuh talak. Ini berlaku dalam anggaran tahun 2023. Baru-baru ini saya terjumpa suami saya menonton reels di Instagram yang mengandungi video tidak senonoh. Dia tidaklah secara terus kelucahan itu seperti di laman web lucah, tapi menjurus kepada kelucahan. Adakah taklik itu jatuh? Dalam tempoh sebelum bicara mahkamah, apakah status kami? Sekiranya dalam tempoh pengesahan taklik ini suami hendak rujuk (sebab nak serumah dan batasan aurat) adalah ia sah tanpa perlu ke mahkamah dulu?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

1. Dalam penentuan sesuatu lafaz talak, kejelasan ayat atau perkataan yang digunakan amat penting kerana ia memberi kesan langsung kepada penentuan sama ada talak jatuh atau tidak. Oleh itu, puan perlu mendapatkan kepastian yang tepat tentang lafaz sebenar yang diungkapkan oleh suami.

Walau bagaimanapun, secara umum, jika diandaikan suami puan melafazkan, “kalau aku tengok benda lucah, jatuh talak”, maka perlu dirujuk kepada suami apakah yang dimaksudkan dengan “benda lucah” tersebut. 

 Oleh itu, keadaan ini tidak boleh diputuskan secara pasti tanpa mengetahui niat sebenar suami ketika melafazkan taklik tersebut.

Walau bagaimanapun, pihak yang berautoriti untuk mengesahkan lafaz taklik talak serta menentukan sama ada ia telah berlaku atau tidak ialah Mahkamah Syariah. Justeru, perkara ini hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berdekatan untuk mendapatkan kepastian dan pengesahan rasmi dalam kadar yang segera.

2. Pasangan yang sedang menunggu pengesahan perceraian di Mahkamah Syariah masih dianggap sebagai suami isteri yang sah sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya. Walaupun lafaz cerai dibuat di luar mahkamah, status perkahwinan belum muktamad kerana memerlukan pengesahan. Oleh itu, perceraian tersebut hendaklah dilaporkan kepada Mahkamah Syariah.

3. Sekiranya dalam tempoh menunggu pengesahan taklik ini suami ingin rujuk kembali kepada isterinya bagi tujuan tinggal bersama dan menjaga batasan aurat, maka suami boleh melakukan rujuk tanpa perlu menunggu keputusan mahkamah atau sebelum memfailkan pengesahan di mahkamah.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 10

message user image