Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Sekiranya suami telah menyatakan hasrat untuk pergi dan mengajak saya ke makamah syariah atau pejabat agama keesokan harinya. sedangkan dia berniat ke arah itu (talak). Hasratnya terbatal kerana sudah memaafkan saya pada hari yang sama sebelum pergi ke makhamah @ pejabat agama. Adakah dalam situasi ini jatuh talak?
Terima kasih bagi jawapan nya.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, hasrat atau niat di dalam hati untuk pergi ke Pejabat Agama Islam untuk tujuan penceraian tidak menyebabkan talak berlaku.
Talak hanya berlaku apabila suami melafazkan kata-kata talak sama ada secara sorih (jelas), seperti kata-kata: "aku ceraikan engkau" atau secara kinayah (kiyasan), seperti kata-kata: "aku lepaskan engkau" atau "kita tidak ada apa-apa hubungan lagi", berserta niat menceraikan isteri.
Walau bagaimanapun, pihak yang berautoriti dalam mengesahkan suatu lafaz talak atau taklik talak itu sah terletak pada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Oleh itu, untuk mendapatkan maklumat atau pengesahan lebih lanjut, sila hubungi Bahagian Undang-undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah atau Mahkamah Rendah Syariah terdekat.
Sekian, terima kasih.