Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, apakah hukumnya balik lebih awal dari waktu sebenar bekerja kerana telah datang awal sebelum waktu bekerja bermula? Contohnya saya datang pejabat pada pukul 8, sedangkan waktu bekerja pejabat bermula pukul 8.30, lalu saya balik pada pukul 5.10, sedangkan waktu pejabat habis pada pukul 5.30. Adakah ia haram? Dan bagaimana dengan gaji yang diterima?
Jawapan
Hadis yang diriwayatkan oleh Kathir bin 'Amr bin 'Awf Al-Muzani daripada ayahnya daripada datuknya daripada Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: Dan kaum Muslimin harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati kecuali syarat yang mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram. (Riwayat al-Tarmizi)
Dalam Islam, apabila seseorang diambil bekerja dengan waktu yang ditetapkan (contohnya 8.30 pagi hingga 5.30 petang), itu sebenarnya satu akad (perjanjian) antara pekerja dan majikan. Maka, kita dituntut untuk menunaikan amanah tersebut seperti yang dipersetujui. Sekiranya kaedah kehadiran adalah jenis fleksibel: datang awal, balik awal, maka tiada masalah dan pendapatan adalah halal.
Namun sekiranya pihak majikan tidak membenarkan, maka telah berlaku pelanggaran masa yang diamanahkan untuk bekerja dan yang pasti menjejaskan (syubhah) pendapatan yang diterima.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 29:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih