BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya bekerja di syarikat makanan milik kaum cina bukan islam.

Manager telah mengarahkan saya untuk menyediakan pamphlet hamper chinese new year dimana kandungan hamper tersebut adalah arak dan beberapa jenis makanan lain. Pamphlet ini kemudiannya diedarkan kepada pelanggan untuk mempromosikan hamper tersebut. 

Beberapa pekerja muslim lain juga terlibat dalam menghasilkan hamper tersebut.

Soalan saya, adakah saya berdosa kerana telah menyediakan bahan promosi hamper yang mempunyai arak didalamnya.

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan situasi yang dijelaskan, bekerja di sebuah syarikat yang terlibat dengan arak adalah dilarang. Hal ini seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, sabda Nabi SAW:

‌لَعَن ‌الله ‌الخمرَ وشاربَها وساقيَها، وبائعَها ومبتاعَها، وعاصِرها ومعتصِرها، وحامِلَها والمحمولَةَ إليه

Maksudnya: Allah SWT melaknat arak, orang yang meminumnya, orang yang menuangkannya, penjualnya, pembelinya, yang memerahnya, yang mengambil hasilnya, penghantarnya dan orang yang meminta dihantarkan. (Riwayat Abu Daud)

Dalam kes anda, menyediakan pamphlet promosi untuk hamper yang mengandungi arak adalah satu bentuk bantuan dalam mempromosikan dan mengedarkan arak. Walaupun anda tidak secara langsung menjual atau meminumnya, tindakan anda dalam menyediakan bahan promosi tersebut boleh termasuk dalam kategori "membantu dalam berbuat dosa dan permusuhan" (al-i'anah 'ala al-ithm wa al-'udwan), sebagaimana dalam firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰ⁠نِۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِیدُ ٱلۡعِقَابِ

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Oleh itu, tindakan anda dalam menyediakan bahan promosi untuk hamper yang mengandungi arak adalah tidak dibenarkan dalam Islam dan boleh mendatangkan dosa. Ini kerana ia secara langsung menyumbang kepada penyebaran dan penjualan arak, yang jelas diharamkan.

Sebaiknya elakkan diri daripada terlibat secara langsung dalam aktiviti yang berkaitan dengan arak, termasuk promosi. Cubalah berunding dengan pihak pengurusan untuk mencari alternatif, seperti menyediakan pamphlet yang tidak mengandungi arak, atau meminta untuk ditugaskan kepada kerja lain yang tidak melibatkan perkara haram. Jika tiada pilihan lain dan anda terus dipaksa untuk terlibat dalam perkara haram, pertimbangkan untuk mencari pekerjaan lain yang tidak melibatkan anda dalam perkara yang bertentangan dengan syariat Islam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 3

message user image