Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Jika ada tertinggal puasa yang tahun2 sebelumnya, yang belum di qada, contohnya
Tahun 2019 - haid 8 hari, qada 5 hari, tak sempat qada 3 hari
tahun 2020 - haid 8 hari, qada 5 hari, tak sempat qada 3 hari
tahun 2021 - haid 8 hari, qada 8 hari (mangikut haid tahun 2021)
adakah qada 5 hari pada tahun 2020 tu dikira qada untuk 2019. Jadi sebenarnya tahun 2020 hanya berjaya qada 2 hari sahaja ( jadi ada baki 6 hari), dan adakah qada 8 hari 2021 itu sebenarnya qada untuk baki 6 hari tahun 2020.
Dalam situasi ini adakah setiap kali qada untuk tahun semasa, sebenarnya ialah qada untuk tahun yang lama sebelum ini. Adakah begini atau adakah boleh jika kita niat untuk qada tahun semasa dan sempat qada untuk tahun semasa sahaja, jadi fidyah yang perlu dibayar tu hanya untuk tahun yang lama2 sahaja sehingga berjaya qada sepenuhnya.
Saya keliru kerana saya telah bayar fidyah mengikut gandaan, tapi tak sempat qada kesemua hutang puasa pada tahun yang saya bayar fidyah itu. Namun saya sempat qada puasa pada tahun semasa. Jika qada tahun semasa itu sebenarnya qada untuk tahun yang lama sebelum ini, bermakna saya kena tambah fidyah untuk tahun semasa pada next ramadhan.
Harap ustaz dapat bantu kekeliruan saya.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, qada' puasa yang dilakukan pada tahun tahun 2020 sebanyak 5 hari untuk tahun semasa atau untuk tahun sebelumnya iaitu untuk tahun 2019 bergantung kepada niat saudari. Sekiranya saudari niatkan untuk tahun 2020, maka qada' itu untuk tahun 2020. Jika saudari berniat untuk tahun 2019, maka qada' itu untuk tahun 2019.
Berhubung pembayaran fidyah, saudari diharuskan untuk memilih sama ada untuk membuat pembayaran secara berganda atau tidak berganda. Namun digalakkan untuk membayar secara berganda jika berkemampuan.
Sekian. Terima kasih.